Monday, August 30, 2010

805 Orang Asli terima wang zakat

Sebanyak RM241,500 wang zakat diagihkan kepada 805 keluarga Orang Asli di tiga daerah di negeri ini pada tahun ini.

Pegawai JHEOA negeri, Mohd. Hamizun Mohd. berkata, setiap keluarga akan menerima RM300 di bawah peruntukan kepada saudara baru oleh Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM).

"Nilai agihan zakat ditentukan oleh MAIDAM setiap tahun dan kesemua keluarga akan menerima wang itu bagi menampung keperluan menyambut Aidilfitri.

"Selain itu, pemberian bonus hasil ladang kelapa sawit yang mereka usahakan juga akan diberikan menjelang Aidilfitri," katanya di Kuala Terengganu semalam.

Mengulas lanjut, Mohd. Hamizun berkata, pihaknya turut menganjurkan majlis berbuka puasa di tiga penempatan masyarakat setiap tahun.

Tambahnya, ia melibatkan seramai 28 orang Orang Asli di Kampung Sungai Sayap, Besut dan 385 orang di Sungai Berua, Kuala Berang serta 392 orang di Sungai Pergam, Kemaman.

Ujarnya, ia bagi mendekatkan diri masyarakat itu dengan agama Islam secara lebih mudah.

"Pada tahun ini, kita bersama-sama MAIDAM menganjurkan majlis berbuka puasa, solat terawih serta berzikir beramai-ramai bagi memberi pendedahan kepada mereka tentang bulan mulia ini.

"Lazimnya, sambutan daripada mereka amat menggalakkan kerana jarang-jarang dapat menyertai aktiviti seperti itu," jelasnya.

No comments:

Post a Comment