Friday, August 27, 2010

Agihan Kurma Kerajaan Negeri Sedang Rancak

Kulit kotak kurma sumbangan Kerajaan Negeri untuk tahun ini.

Rabu petang (25 Ogos 2010), kira-kira jam 5.30 petang penulis dikejutkan oleh sekumpulan anak muda yang memberikan salam di luar pagar.

“Kami nak bahagikan kurma’” kata mereka.

“Kurma apa?” Tanya penulis.

“Kurma daripada Kerajaan Negeri,” sambil beliau menghulurkan sekotak kecil kurma kepada penulis dan rakannya meminta penulis memenuhi ruang nama dan nombor telefon pada sekeping kertas yang disediakan.

“Kertas ini kena isi. Bos kami nak pastikan kurma ini sampai kepada semua rumah,” katanya. Sambil menyambung dengan soalan: “Mana orang sebelah? Saya memberikan salam banyak kali. Saya bimbang bos marah kalau tak sampaikan,” katanya.

“Cubalah sekali lagi...tahun ni tak ada ke air zam-zam,” kata penulis.

“Bos suruh beritahu...air zam-zam belum tiba, Insyaallah mungkin selepas inilah,” katanya dengan nada yang lembut.

Kumpulan anak muda itu membantu JKKK membahagi-bahagikan kurma di Taman Permint Jaya Fasa 4, Cendering sebaik menerima bekalan daripada kerajaan negeri.

Kelmarin (25 Ogos 2010), Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said mengumumkan akan meneruskan pengagihan kurma dan zam-zam.

Walaupun mendapat kritikan dan persoalan sebelum ini khususnya daripada pembangkang, program itu diteruskan kerana dianggap penting untuk rakyat.

Kerajaan Terengganu akan mengagih-agihkan 250,000 bungkus kurma dan 250,000 botol air zam zam kepada rakyat yang beragama Islam di negeri itu berikutan sambutan baik yang diterima pada tahun lepas.

Beliau berkata, tahun ini tempahan kurma adalah dari Tunisa dan pemberian kurma dan air zam-zam akan lewat sedikit kerana pembekal menghadapi masalah bekalan.

"Harga kurma dari Tunisia tahun ini murah sedikit berbanding kurma Nabi yang ditempah dari Mesir tahun lepas," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan exco kerajaan negeri di Wisma Darul Iman.

Beliau bagaimanapun belum mendapat mengesahkan harga sebenar kurma berkenaan. Ia turut diakui oleh Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mazlan Ngah yang turut hadir pada sidang media itu.

Kerajaan Negeri tahun ini menggunakan dua syarikat iaitu satu untuk bekalan kurma dan satu lagi untuk air zam-zam.

Katanya pengagihan dilakukan menerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) yang akan pergi dari rumah ke rumah.

Pada musim Ramadhan tahun lalu Ahmad telah memberi amaran kepada JKKK yang tidak menyampaikan kurma serta zam-zam tersebut dengan menyangkut dip agar atau pintu-pintu rumah.

Ia hendaklah disampaikan sendiri kepada tuan rumah.

No comments:

Post a Comment