Saturday, August 7, 2010

Agong Berkenan Terima Kunjungan 10 Pemandu Formula Future

Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin (kanan) ketika menerima kunjungan pasukan pemandu Formula Future yang bakal menyertai Kejohanan Formula Future Dunia Carc Mill Dam 2010 di Istana Negara di Kuala Lumpur, semalam. Foto BERNAMA

Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin semalam berkenan menerima kunjungan sekumpulan pemandu Formula Future yang bakal menyertai Kejohanan Formula Future Dunia Carc Mill Dam 2010, di Istana Negara di Kuala Lumpur.

Seri Paduka, yang diiringi Raja Permaisuri Agong Tuanku Nur Zahirah, juga memberi titah nasihat serta mendoakan kejayaan 10 pemandu muda itu yang enam daripada mereka adalah dari Terengganu, pada kejohanan dua hari di St Helens (Merseyside) England mulai 13 Ogos ini.

Mereka ialah Akef Hilmie Mohd Zamry, 9, Dzafran Mohd Noor, 9, Hadi Irfan Mohd Rahaizah, 10, Muhammad Zhafree Ammar Mohd Zamry, 11, Muhammad Azwar Yahaya, 12, Muhammad Hanif Ramli, 13, Nik Daniel Affifudin Nik Kamaruzaman, 14, Tengku Mohd Kamal Hishamuddin Tengku Mohd Zainal Abidin Petra, 15, Muhammad Faidzullah Ramli, 17 dan Muhammad Faqih Noor Hamzah, 18.

Akef Hilmie, Dzafran Mohd Noor, Muhammad Zhafree Ammar, Nik Daniel Affifudin, Tengku Mohd Kamal Hishamuddin dan Muhammad Faidzullah Ramli adalah dari Terengganu.

Turut menyertai kunjungan itu ialah Pengarah Urusan H20 Sports Datuk Yahya A.Jalil dan Presiden Persatuan Sukan Air Bermotor Malaysia (PESUAM) Datuk Syed Ali Alhabshee.

Yahya berkata kesediaan Seri Paduka meluangkan masa berjumpa para pemandu itu menjadi pencetus semangat kepada mereka untuk berjuang di kejohanan itu nanti.

"Saya berasa terharu di atas titah dan doa Tuanku, di mana Tuanku mengucapkan rasa bangga terhadap seluruh 10 pemandu Formula Future yang berjuang mengharumkan nama negara," katanya.

Beliau berkata Seri Paduka berharap semua pemandu muda negara itu dapat berusaha gigih untuk mengulangi kemenangan cemerlang mereka bagi menjuarainya buat kali kelima.

Sementara itu, Syed Ali berkata kesemua pemandu sudah cukup bersedia untuk merampas kembali kejuaraan selepas tidak menyertainya di Russia tahun lepas berikutan wabak Influenza A (H1N1) ketika itu.

"Mereka dilatih secara berpusat selama 10 hari selepas kejohanan Formula Future Kebangsaan di Taman Botani, Putrajaya dari 22 hingga 25 Julai yang lepas, dan saya rasa mereka semua sudah cukup bersedia dan bersemangat," katanya.

Kesemua pemandu itu akan berlepas ke England pada Isnin ini dan diharapkan meraih sekurang-kurangnya tiga emas dalam lima kelas yang ditandingi, katanya.

Sebelum ini pasukan itu menerima ‘suntikan’ semangat daripada Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ahmad Shabery Cheek, yang memberikan peruntukan tambahan RM50,000 bagi kegunaan mereka di sana.

Ahmad Shabery berkata, peruntukan itu adalah untuk menampung kos perbelanjaan pasukan 10 peserta itu dan disifatkan wajar kerana sukan berkenaan pernah menjulang nama Malaysia sebelum ini. “Peruntukan ini perlu memandangkan pasukan Malaysia pernah mencipta beberapa kejayaan dalam pertandingan terbabit sebelum ini.

“Ini adalah sukan yang Malaysia sudah berada di tempat yang dihormati dan kita sudah maju berbanding negara lain termasuk Eropah,” katanya pada majlis penyerahan Jalur Gemilang kepada Pasukan Formula Future Malaysia, di Putrajaya kelmarin.

Pasukan negara pernah muncul juara dunia pada 2004, 2005, 2007 dan 2008 manakala naib juara pada 2006.

No comments:

Post a Comment