Saturday, August 28, 2010

Ahmad Said Hadiri Program UMNO di Kuala Lumpur

Najib Tun Razak dan Muhyiddin Yassin bersama ahli-ahli Majlis Tertinggi dpada program rakaman takbir raya di Surau Ar-Rahman sebelum majlis berbuka puasa di PWTC, Kuala Lumpur, semalam.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said semalam menghadiri Mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) di Menara Dato Onn dan mengikuti beberapa program UMNO Malaysia petang semalam.

Selain menghadiri mesyuarat MT, Ahmad Said juga menghadiri majlis berbuka puasa dan solat tarawikh bersama Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd Najib Razak.

Anggota MT bersolat maghrib, isyak dan tarawikh di Surau Ar-Rahman, Aras 3, Pusat Dagangan Dunia Putra semalam.

Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak (kanan) menyampaikan replika kunci van kepada tiga sayap kompenan parti Umno (dari,kiri) Ketua Wanita , Senator Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, Ketua Puteri, Datuk Rosnah Rashid Shirlin dan Ketua Pemuda, Khairy Jamaluddin sebelum memulakan Mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) semalam.

Sementara itu, Najib pada sidang media selepas mesyuarat MT berkata UMNO bersetuju menerima parti Kongres India Muslim Malaysia (Kimma) sebagai ahli bergabung dengan UMNO.

Dengan keputusan tersebut Kimma diberi beberapa bentuk keistimewaan itu antaranya dijemput hadir sebagai pemerhati dalam Perhimpunan Agung UMNO dan persidangan di peringkat bahagian, sekiranya parti itu mempunyai keahlian di kawasan berkenaan.

Bagaimanapun beliau berkata, Kimma tidak boleh terlibat dalam segala urusan yang berkaitan dengan UMNO.
Mesyuarat MT semalam juga bersetuju dengan jadual serta tarikh Perhimpunan Agung UMNO yang telah dikemukakan oleh jawatankuasa pengurusan.

''Perhimpunan akan bermula pada 19 Oktober iaitu taklimat Presiden dan kemudian diikuti dengan perasmian perhimpunan bagi Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri oleh Timbalan Presiden.

''Pada keesokannya iaitu 20 Oktober diadakan perhimpunan ketiga-tiga sayap iaitu Wanita, Pemuda dan Puteri,'' katanya.

Pada 21 Oktober katanya, Perhimpunan Agung bermula dan ia diadakan sehingga 23 Oktober.

Mengenai kedudukan Tan Sri Abdul Taib Mahmud sebagai Ketua Menteri Sarawak pada Pilihan Raya Sarawak ke-10 yang akan datang, Najib berkata, beliau akan mengadakan perbincangan dari hati ke hati dengan tokoh itu sebelum keputusan lanjut diambil.

Perdana Menteri mengulangi pendirian bahawa Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) yang diterajui oleh Abdul Taib merupakan rakan setia Barisan Nasional (BN) yang menjadi tonggak penyumbang kepada kejayaan parti itu di Sarawak.

Abdul Taib yang menjadi Ketua Menteri Sarawak selama 29 tahun sejak 1981, masih belum membuat keputusan sama ada akan mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri yang diwakilinya pada pilihan raya negeri ke-10 akan datang.


Beliau dilaporkan menyatakan sedia berundur sekiranya keadaan memerlukannya berbuat demikian tetapi pada masa sama menyerahkan kepada parti dan Perdana Menteri untuk memutuskannya.

No comments:

Post a Comment