Sunday, August 29, 2010

Terengganu Pasukan Negeri Pertama Sertai LTdL 2011

Jika berjalan lancar, pasukan lumba basikal Terengganu akan mencipta sejarah sebagai pasukan negeri pertama menyertai perlumbaan edisi ke-16 jelajah berbasikal Le Tour de Langkawi (LTdL) tahun depan.

Bakal membariskan pelumba kelahiran negeri itu, pasukan yang akan didaftarkan bertaraf benua itu akan memulakan ‘operasinya’ Oktober ini.

Ketua Jurulatih Lumba Basikal Terengganu, Syed Mohd Hussaini Syed Mazlan berkata, pasukan yang akan dikenali dengan nama Pasukan Benua Terengganu (Terengganu Continental Cycling Team) itu kini sedang dalam proses pendaftaran dengan Pejabat Pesuruhjaya Sukan dan Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI).

“Berdasarkan kontrak setiap dua tahun, pasukan ini ditaja sepenuhnya kerajaan negeri yang mahu melakukan pembaharuan dalam sukan lumba basikal dan membantu mengetengahkan pelumba Terengganu secara berterusan.

“Pelumba kelahiran negeri ini yang berada di luar akan dipanggil balik untuk menabur khidmat,” kata Syed Mohd Hussaini.

Dengan suntikan dana RM1.5 juta, kerajaan negeri katanya berani membuat pelaburan itu selepas melihat kemampuan Anuar Manan yang menjadi pelumba Malaysia pertama menjuarai satu peringkat di LTdL 2010 serta menjadi pelumba Asia pertama menjuarai Raja Pecut selepas 15 tahun jelajah itu diperkenalkan.

Setakat ini, 12 pelumba Terengganu disenarai pendekkan iaitu Anuar Manan, Adiq Husainie Othman, Mohd Zamri Salleh, Mohd Harrif Salleh, Mohammad Saufi Mat Senan, Yusrizal Yusuf, Mohd Faiz Sharifudin Abdul Kadir, Mohd Sobri Abdullah, Ahmad Haidar Anuawar, Nur Rizuan Zainal, Ahmad Fallanie Ali dan Amir Mustafa Rusli.

“Namun kami hanya akan memilih lapan pelumba terbaik berdasarkan prestasi terkini. Mengikut perancangan, pelumba itu berlatih ke luar negara mulai Oktober ini bagi menghadapi LTdL,” katanya.

Berita Harian

No comments:

Post a Comment