Saturday, August 21, 2010

Anak DiPengaruhi Dadah - Ibu Terpaksa Repot Polis

Kes seorang penagih dadah di Hulu Terengganu menyimbah asid terhadap isteri dan anak hanya baru beberapa hari berlalu.

Kini di Langkap ada lagi satu kes yang menyayat hati.

Seorang ibu tunggal berusia 60 tahun yang tinggal di kawasan Chalok di Langkap, terpaksa membuat laporan polis berikutan tidak tahan dengan sikap anak tunggalnya yang sering meminta wang sejak belakangan ini.

Ia tidak lain daripada mendapatkan bekalan dadah.

Difahamkan, ibu tunggal terbabit yang hanya bekerja sendiri terpaksa mengeluarkan perbelanjaan sehingga RM100 sehari bagi menampung keperluan anaknya itu.

Anak tunggalnya itu dikatakan juga menghidap Sindrom Kurang Daya Tahan Penyakit (Aids) dan menjadikan ibunya tempat beliau mendapatkan wang bagi membeli bahan terlarang itu.

Apapun, penderitaan ibu tunggal terbabit berakhir apabila anaknya yang berusia 37 tahun itu berjaya ditahan polis dalam Ops Tapis Bersepadu diketuai Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Daerah Setiu, Chif Inspektor Mohd Fahmiy Mohd Zain.

Dalam operasi 12.30 pagi kelmarin, suspek ditahan di kawasan Chalok dalam keadaan khayal selepas dipercayai baru mengambil dadah dengan wang yang diperoleh daripada ibunya.

Ketua Polis Daerah Setiu, Deputi Superintendan Shaik Othman Abdul Hamid mengesahkan mengenai penahanan suspek dalam operasi itu.

“Sekumpulan pegawai dan anggota polis kemudiannya membawa suspek ke Ibu Pejabat Polis daerah (IPD) untuk siasatan lanjut dan menjalani pemeriksaan air kencing. Hasil siasatan mendapati suspek positif dadah,” katanya di IPD Setiu kelmarin.

Menurutnya, siasatan juga mendapati suspek mempunyai tiga rekod lampau kerana pernah terlibat dengan penyalahgunaan dadah termasuk pernah ditahan di Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (Puspen) Besut selama dua tahun sebelum ini.

Suspek kini ditahan reman selama 14 hari dan kes disiasat di bawah Seksyen 3(1) Akta Penagihan Dadah 1983.

Jika sabit kesalahan boleh dihantar ke Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik selama dua tahun seperti diperuntukkan seksyen itu.

No comments:

Post a Comment