Friday, August 20, 2010

Dua Beranak Maut, Dua Lagi Koma Kereta Bertembung Ketika Hujan Di Marang

NOR Azlina Ghazali (tengah) dipapah bapanya Ghazali Mat Amin dan saudaranya selepas rebah sejurus tiba di bilik mayat Hospital Sultanah Nur Zahirah untuk melihat jenazah suami dan anaknya yang maut dalam kemalangan di Km 50.5 Kuala Terengganu-Dungun, dekat Jambu Bongkok, Terengganu. Mangsa dalam perjalanan untuk menjemput Nor Azlina di Kuantan. - Utusan

Dua terbunuh, termasuk bapa dan anak perempuannya berumur tiga tahun manakala dua lagi koma dalam kemalangan di Kilometer 50.5 Kampung Telaga Air, Marang dalam kejadian 11.30 pagi hari ini.

Ketua Polis Daerah Marang, DSP Ahmad Mazlan Yahaya berkata Mohd Azmani Azalan @ Zed, 31, seorang mekanik, dan anak tunggalnya, Nor Fatin Alia meninggal dunia di tempat kejadian.

Mangsa yang koma, adik ipar Mohd Azmani, Norrul Hidayah Ghazali, 25 tahun dan pemandu kereta yang turut terlibat dalam kemalangan Muzaiman Mohd, 26.

Seorang lagi penumpang kereta Proton Wira Aeroback yang dipandu Mohd Azmani, iaitu anak saudaranya, Wan Mohd Hasih Wan Yahaya, 16, cedera di bahagian muka dan kedua-dua mangsa yang koma, dirawat di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di Kuala Terengganu.

Mohd Azmani dari Lorong Ciku, Chabang Tiga di sini dalam perjalanan untuk menjemput isterinya, Norazlina Ghazali, 27, yang bekerja di Tenaga Nasional Bhd (TNB) Kuantan dan kini hamil lapan bulan, kata Ahmad Mazlan kepada pemberita di sini pada Jumaat.

Kejadian dipercayai berlaku apabila kereta Proton Wira Aeroback yang dipandu Muzaiman dari arah Kuantan ke Kuala Terengganu terbabas memasuki laluan kenderaan yang dipandu Mohd Azmani lalu bertembung dalam keadaan jalan licin akibat hujan.

"Muzaiman dipercayai berkonvoi dengan isterinya yang memandu kereta di hadapan.

"Isterinya terlihat kemalangan yang berlaku melalui cermin sisi dan berpatah balik membantu suaminya keluar dari kenderaan yang terbakar sejurus kemalangan," katanya.

Mayat dua beranak itu dihantar ke HSNZ untuk bedah siasat sebelum diserahkan kepada keluarga untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Gelugur Raja, Wakaf Mempelam.

No comments:

Post a Comment