Tuesday, August 17, 2010

Anuar Tumpu Latihan Hadapi Bukit Bukau

Anuar Manan semakin “mesra” dengan pasukan Pro Tour sejak menyertai kem latihan di Eropah bersama Geumsan Ginseng Asia bulan lalu, kemesraan yang memerlukan banyak pengorbanan dari Raja Pecut Le Tour de Langkawi 2010 itu.

Laluan berbukit yang sering memberikan masalah kepada pelumba dari Terengganu itu, kini terpaksa ditempuhinya saban hari, baik ketika latihan mahupun perlumbaan kecil yang disertai Anuar.

"Mula-mula tiba di sini, latihannya memang menyeksakan,” kata Anuar. “Setiap hari kami akan berkayuh tujuh hingga lapan jam, dan sebahagian besar laluannya berbukit-bukau. Memang tidak boleh lari daripada pendakian.

“Tetapi selepas menyertai beberapa perlumbaan di sini, sesi latihan terasa tidak terlalu memeritkan.

Setakat ini saya sudah mengumpul pengalaman berlumba dengan pasukan Pro Tour di sini, dan ada di antaranya menampilkan pelumba-pelumba handalan Tour de France.

“Buat permulaan, saya sekadar dapat menamatkan perlumbaan saja di sini kerana terlalu banyak pendakian.

Memang sukar untuk pelumba pecut seperti saya menang perlumbaan di sini. Malah garisan penamat juga kebanyakannya di puncak pendakian.”

Bagaimanapun sebaik berlumba di laluan landai kriterium, Anuar tidak mensia-siakan peluang dan dia berpuas hati menduduki tangga ketujuh selepas bersaing di kalangan jaguh pecut Pro Tour.

Sasaran utama Anuar kini ialah menjelmakan pingat buat negara sebaik kembali dari latihan di Eropah.

“Segala penat jerih yang saya lalui di sini, diharap dapat meningkatkan kemampuan saya beraksi pada Sukan Komawel dan Sukan Asia nanti,” kata Anuar.

“Saya sedar pelumba-pelumba yang bakal beraksi nanti semuanya handal-handal, tetapi saya sudah bersedia menghadapinya.

“Saya akan cuba sedaya upaya untuk membawa pulang pingat, baik dari Sukan Komanwel mahu pun Asia, tetapi saya tidak boleh janjikan warnanya. Saya harap pengalaman di sini membantu saya beraksi lebih baik di dua kejohanan berkenaan.”

No comments:

Post a Comment