Bumi Terengganu menampung lebih 10 juta tan pasir silika bermutu tinggi yang dapat digunakan bagi menggerakkan pelbagai industri berasaskannya.
Pengarah Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) negeri, Mohamad Pauzi Abdullah berkata, walaupun mempunyai potensi yang begitu besar tetapi ia belum merangsang syarikat-syarikat asing untuk melabur di negeri ini.
''Kebanyakan syarikat lebih berminat mendapatkan bahan mentah dari negeri ini untuk menampung keperluan kilang di negara mereka.
''Bagaimanapun, kerajaan negeri tidak membenarkan mineral tersebut dibawa keluar dari negara ini," katanya di Kuala Terengganu, semalam.
Katanya, disebabkan kos perkilangan yang tinggi, mereka lebih berminat membawa balik galian ini untuk diproses.
"Setakat ini terdapat beberapa syarikat dari Korea, Jepun serta India berminat untuk memajukan sumber ini namun mereka masih belum membuat keputusan," ujarnya.
Bagi memanfaatkan sumber ini yang dapat menjana ekonomi dan peluang pekerjaan, pihaknya telah merangka cadangan untuk diteliti oleh pihak berkuasa.
Katanya, syarikat dalam industri kecil dan sederhana boleh dilibatkan bagi pengeluaran pelbagai produk kaca dan kristal.
''Selain itu, kami turut mencadangkan supaya diwujudkan 'Silika Road' seperti yang telah diusahakan di beberapa negara.
''Kegiatan seperti ini bukan sahaja dapat membangunkan industri berasaskan silika, malah dapat memberikan pulangan yang lumayan dan meningkatkan peluang pekerjaan," ujarnya.
No comments:
Post a Comment