Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) memberi amaran terhadap para peniaga makanan dan minuman di bandar raya ini supaya tidak menjualnya kepada orang Islam sebelum waktu yang ditetapkan sepanjang Ramadan.
Datuk Bandar, Datuk Adzlan Mohd. Dagang berkata, pihaknya telah mengeluarkan pekeliling berhubung waktu perniagaan yang ditetapkan sepanjang bulan berpuasa.
Katanya, para peniaga beragama Islam di seluruh bandar raya ini hanya boleh memulakan perniagaan selepas pukul 3 petang.
Menurut beliau, bagi bukan Islam, mereka boleh berniaga seperti biasa tetapi tidak dibenarkan menjualnya kepada orang Islam.
"Kita juga membenarkan restoran-restoran makanan segera untuk berniaga seperti biasa namun arahan sama juga telah dikenakan kepada mereka.
"Bagaimanapun, terdapat sedikit masalah, sebagai contoh dalam keadaan di mana si ayah membeli makanan untuk anak-anaknya," katanya semalam.
Beliau berkata, pihaknya akan melakukan pemantauan berhubung perkara itu bagi melihat ia dipatuhi.
"Kita akan bekerjasama dengan Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) untuk melaksanakan penguatkuasaan ini.
"Kita akan mengambil tindakan jika mereka didapati melanggar peraturan yang ditetapkan," ujarnya.
Beliau berkata, antara tindakan yang boleh diambil adalah menggantung atau menarik balik lesen perniagaan mereka.
"Bagaimanapun, sehingga hari ini, kita masih belum menerima sebarang aduan berhubung perkara itu," katanya.
No comments:
Post a Comment