Kerajaan negeri Terengganu kesal kes kemalangan bot melibatkan pelancong asing berulang lagi di negeri ini, kali ini melibatkan pasangan suami isteri dari Norway.
Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said berkata, kes-kes sedemikian bukan sahaja melibatkan nyawa tetapi juga mencalar imej Terengganu sebagai destinasi pelancongan selamat.
"Kalau kejadian itu disebabkan kecuaian, mereka (pelancong) akan serik dan tidak akan datang lagi ke sini. Kalau tragedi berlaku kerana ribut, taufan itu lainlah. Ini merupakan kelalaian manusia yang sepatutnya boleh dielakkan.
"Saya minta pemandu bot berhati-hati kerana kita bawa penumpang itu bermakna nyawa penumpang bergantung kepada kita, utamakan keselamatan. Kadang-kadang ada juga yang tidak mengikut syarat-syarat yang telah ditetapkan," katanya di Kuala Terengganu hari ini.
Beliau berkata demikian ketika melawat pasangan pelancong yang terlibat dalam kejadian kemalangan bot di perairan Pulau Perhentian petang semalam.
Dalam kejadian pukul 6.15 petang berhampiran Jeti Kampung Pasir Hantu, sebuah bot membawa barang bertembung dengan bot yang membawa pelancong dari Norway.
Kemalangan itu menyebabkan seorang guru, Tina Mariann Steiro, 30, bersama suaminya Steiro Kelly, 29, seorang jurutera yang baru balik dari menyelam di Pulau Perhentian Besar, cedera.
Wanita itu yang mengalami patah tulang selangka dirawat di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini manakala suaminya hanya cedera ringan dan telah dibenar keluar dari hospital.
Ahmad Said berkata kerajaan negeri berharap pihak yang terlibat mengeluarkan lesen kepada pemandu bot pelancong mengadakan kursus atau taklimat keselamatan sekurang-kurangnya enam bulan sekali agar kejadian sama tidak berulang.
Katanya langkah itu perlu bagi memastikan keselamatan pelancong asing dan tempatan yang mengunjungi pusat peranginan terutama di pulau-pulau, terjamin.
Kes kemalangan bot melibatkan pelancong asing semalam merupakan yang kedua berlaku tahun ini.
Pada 24 Julai lalu, tiga pelancong dari China parah apabila bot yang mereka naiki berlanggar dengan sebuah bot Komando 69 Pasukan Gerakan Am (PGA) di Teluk Kay Kay berdekatan Pulau Perhentian Besar, Besut.
Sementara itu, Tina ketika ditemui pemberita di hospital berkata kemalangan itu berlaku pada lewat petang ketika beliau dan suaminya dalam perjalanan pulang ke tanah besar selepas berehat di hujung minggu di Pulau Perhentian Besar.
"Sekalipun mengalami kemalangan, saya masih sukakan tempat ini, cukup seronok berada di sini," kata beliau.
No comments:
Post a Comment