Setiap tahun, masalah longgokan buah berlaku di Terengganu.
Buah-buah seperti rambutan, manggis, dokong, longan dan terutamanya durian, bukan datang dari Terengganu sahaja, malah juga dari Kelantan dan Pahang.
Ia bukan masalah baru dan ini diakui sendiri oleh Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said.
Menurutnya, sekarang ini, lambakan buah-buahan tempatan sedang dan akan berlaku dalam pasaran terutama di negeri ini.
Perkara ubu berlaku berulang kali dan sudah tiba masanya satu teknologi baru dicari supaya lebih kreatif dan inovatif.
Berikutan itu, Mardi, Jabatan Pertanian atau saintis diminta mencari jalan termasuk mengadakan kajian mengenai buah-buahan tempatan supaya ia boleh bertahan lama atau digunakan dalam bentuk makanan yang lain.
Tujuannya ialah tidak berlaku lambakan dalam pasaran seperti sekarang.
Di negara-negara lain, kata Ahmad Said mereka boleh menghasilkan produk daripada buah-buahan, selain isinya dimakan.
"Contohnya di Thailand, dia beli buah rambai daripada kita, isi buah rambai diguna untuk buat arak dan kulitnya dijadikan bedak. Memang kita tidak boleh buat arak tetapi sekurang-kurangnya kita boleh buat bedak.
"Begitu juga kita ada durian, tetapi kita makan isi .. di Thailand dia buat coklat dan macam-macam lagi," katanya.
Perkara ini disuarakan oleh Menteri Besar selepas majlis perasmian Mini MAHA 2010 di Dataran Shah Bandar di malam Sabtu lalu (7 Ogos)
Turut hadir pada majlis itu Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Mohd Johari Baharum.
Mini MAHA tersebut akan berlangsung selama lima hari bermula 7 Ogos lalu.
Ahmad Said berkata buah-buahan tempatan seperti durian, duku, rambutan, longan, dokong dan lain-lain adalah bermusim dan berada dalam pasaran sekaligus, menyebabkan harga jatuh.
Katanya, masalah itu boleh diatasi sekiranya buah-buahan berkenaan dijadikan produk seperti yang dilakukan oleh negara-negara lain, katanya.
Sementara itu, Johari berkata Terengganu menerima peruntukan RM44 juta tahun ini untuk pelbagai bantuan dan pinjaman kepada penternak, petani dan nelayan di negeri itu.
No comments:
Post a Comment