Tuesday, August 10, 2010

UMT Meterai MoA Dengan Syarikat Perancis Kaji Rawatan Air

Universiti Malaysia Terengganu (UMT) mengorak setapak lagi dalam bidang penyelidikan apabila mengadakan kerjasama dengan sebuah syarikat Perancis untuk mengkaji aspek rawatan air bagi mengatasi masalah kepupusan ekologi.

Naib Canselor UMT Prof Dr Aziz Deraman berkata memorandum persetujuan (MoA) yang ditandatangani dengan syarikat Veolia Water Asia Pacific (Ltd) yang beribu pejabat di Perancis itu bagi melakukan penyelidikan di Veolia Water di Dungun (VMD).

"Syarikat ini merupakan syarikat yang berpusat di Hong Kong tetapi telah mendapat kontrak dengan syarikat tempatan untuk kerja-kerja pemantauan dan perawatan air di Dungun.

"Dengan adanya MoA ini, kedua-dua pihak dapat mengenalpasti spesies flora dan fauna yang unik di Dungun serta mengkaji impak serta masalah yang timbul oleh biodiversiti tempatan," katanya kepada pemberita selepas majlis pemeteraian MoA antara UMT dan Veolia Water Asia Pacific (Ltd) di sini pada Isnin.

Dalam majlis itu, UMT diwakili Dr Aziz manakala syarikat itu diwakili Pengarah Urusan Mohammad Akhir Ahmad.

Aziz berkata menerusi perjanjian itu, penyelidik UMT akan menjalankan kajian dan mencari cara terbaik untuk menghalang masalah kepupusan ekologi.

Beliau berkata kajian itu akan dijalankan oleh lapan pensyarah dan 16 pelajar dalam tempoh 18 bulan itu dan hasil kajian itu akan dijadikan sebagai hala tuju VMD dalam rawatan air yang mementingkan ekosistem hijau.

No comments:

Post a Comment