Cuti bagi hampir 200 pegawai dan kakitangan Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) Terengganu akan dibekukan sepanjang Ramadan ini.
Pengarahnya, Mohd. Hilmi Mohd. Noor berkata, cuti itu turut melibatkan anggota di cawangan di Kemaman, Dungun dan Besut bagi membolehkan pemantauan lebih berkesan ke atas peniaga terutama di bazar Ramadan yang bermula semalam.
Katanya, usaha itu juga bagi memastikan peniaga tidak sewenang-wenangnya menaikkan harga makanan dan juadah berbuka puasa meskipun berlaku kenaikan harga gula di pasaran sebelum ini.
"Kenaikan harga gula itu tidak sepatutnya menjadi punca harga makanan yang dijual di bazar-bazar Ramadan di negeri ini dinaikkan memandangkan kadarnya tidak begitu tinggi,'' katanya.
Mohd. Hilmi berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Seminar dan Dialog Kepenggunaan Peringkat Daerah Besut di Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) Kampus Sultan Mizan dekat sini semalam.
"Kita akan memantau semua bazar Ramadan dan jika ada antara peniaga yang menaikkan harga, mereka akan diberi amaran dan jika diulangi, kita akan mengenakan tindakan.
"Sebenarnya sebelum ini peniaga yang berjaya dipilih untuk berniaga di bazar Ramadan telah diberi taklimat semasa perjumpaan dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) mengenai perkara tersebut," ujarnya.
Kata beliau, pegawai dan kakitangan PPDNKK akan memastikan peniaga meletakkan tanda harga pada makanan dan juadah yang dijual supaya mereka tidak akan dapat mengenakan harga sewenang-wenangnya kepada pelanggan.
Sepanjang tempoh itu katanya, PPDNKK akan memastikan para peniaga mematuhi Akta Kawalan Harga dan Kawalan Harga Musim Perayaan yang melibatkan 16 jenis barang.
Di samping itu Mohd. Hilmi berkata, pihaknya juga mengambil inisiatif meletakkan sepanduk dan poster pelbagai kempen yang dijalankan oleh pihaknya sebelum ini seperti Beli Barangan Malaysia dan Kurangkan Penggunaan Gula.
Tambahnya, semua lokasi bazar Ramadan di negeri ini akan diletakkan poster dan sepanduk kempen itu untuk membolehkan pengguna mendapat maklumat secara tidak langsung.
No comments:
Post a Comment