Thursday, August 12, 2010

Cabaran Penerbit Menghasilkan Syahadah

Ibrahim menunjukkan replika Batu Bersurat selepas gimik pelancaran program Syahadah. - gambar Zulkifli Putra.

Pengalaman ditahan dan dimasukkan dalam lokap, diekori secara senyap dan dihalau pihak berkuasa negara adalah antara cabaran serta kesukaran krew RTM dalam menyiapkan dokumentari Syahadah musim keenam ini.

Namun, kesukaran itu bagaikan terubat, apabila masyarakat Islam di negara yang menjadi destinasi pilihan tahun ini iaitu Sumatera dan Kepulauan Jawa, Indonesia; Wilayah Yunnan, China; Kerala dan Gujerat, India, Kemboja serta Korea Selatan dan Jepun menerima baik kedatangan krew.

Buktinya, apabila disebut saja Malaysia, kedatangan krew Syahadah yang diketuai Penerbit Eksekutifnya, Ibrahim Zaidi Ismail disambut mesra dan baik sekali.

Ternyata, pandangan dan penghormatan masyarakat negara luar terhadap umat Islam Malaysia sangat tinggi. Kelebihan masyarakat Islam Malaysia hidup bercampur dengan kaum lain dalam keadaan penuh harmoni, aman dan bersatu tanpa peperangan dan berjaya sebagai sebuah negara membangun, membangkitkan rasa kagum dan hormat mereka kepada umat Islam Malaysia.

Begitu beruntungnya umat Islam di negara ini yang boleh melakukan ibadat tanpa sebarang kekangan, berbeza dengan umat Islam minoriti di luar negara di mana ada yang dihalau keluarga, dibuang negara, malah ada terpinggir apabila tidak mendapat hak sepatutnya walaupun mereka adalah rakyat negara terbabit.

Perkara seperti ini ternyata menginsafkan. Kalau kita lihat umat Islam yang menjadi penduduk minoriti di negara berkenaan, mereka berdepan kepayahan untuk melakukan amalan Islam, tetapi dalam keadaan serba serbi kekurangan, mereka tetap kuat mempertahankan agama. Jadi, mengapa kita yang berada di negara yang majoriti umatnya beragama Islam sendiri sukar melaksanakan ajaran Islam?

Ahmad Said meneliti naskhah al-Quraan pada pameran sempena Syuhadah - Gambar Zulkifli Putra

"Walaupun berdepan pelbagai cabaran sepanjang tiga bulan menjalankan penggambaran program ini di luar negara, tetapi kami puas kerana mahu menyajikan yang terbaik untuk penonton. Untuk musim keenam ini, kami membawakan pelbagai kelainan," katanya yang ditemui selepas pelancaran Syahadah di Taman Tamadun Islam (TTI), Kuala Terengganu, Terengganu, baru-baru ini.

Program Syahadah dengan tema 1 Lafaz Berbeza Resam itu dilancarkan Menteri Besar Terengganu, Datuk Ahmad Said. Majlis turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan Negeri Terengganu, Khazan Che Mat; Timbalannya, Muhammad Ramli Nuh; Ketua Pengarah Penyiaran, Datuk Ibrahim Yahaya dan Pengarah Penyiaran Kawasan Timur, Dr Nawiyah Che Lah.

Sementara itu, Ibrahim berkata, dalam Syahadah musim keenam ini, selain membawa penonton meneroka kehidupan masyarakat Islam di luar negara, turut menyusuri khazanah warisan negara iaitu Batu Bersurat di Terengganu yang telah menerima pengiktirafan antarabangsa melalui Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan PBB (UNESCO) di bawah program Daftar Memori Antarabangsa.

Selain Terengganu, Syahadah yang mendapat tajaan kerajaan negeri Terengganu turut meneroka khazanah warisan Islam di Lembah Bujang, Kedah, serta kedatangan dan perkembangan Islam selepas kedatangan Parameswara di Melaka.

"Program ini bakal menyusuri khazanah warisan negara iaitu Batu Bersurat di Hulu Terengganu, Terengganu. Istimewanya, jika sebelum ini kebanyakan program memaparkan mengenai kewujudan dan penemuan Batu Bersurat, tetapi Syahadah membawakan maklumat yang sedikit terperinci mengenainya. katanya.

Berita Harian

No comments:

Post a Comment