Thursday, August 5, 2010

Dua Beradik dari INSPI Kemaman Berentap Pada Final AQ4

Dari kiri - Husni Ali, Yahya, Ahmad Tirmizi dan Mohd Ahmad akan bersaing merebut gelaran juara AQ4 di TV9. Empat anak muda berentap dalam final AQ4.

Tanpa banyak publisiti tetapi program realiti Akademi al-Quran musim ke empat (AQ4), malam esok (6 Ogos depan), kira-kira empat hari sebelum umat Islam meraikan Ramadan.

Sungguhpun tidak banyak publisiti dimainkan media, namun program yang diperkenalkan TV9 itu tetap mempunyai pengikut setianya.

Penerbitnya, Shukri Ibrahim mengakui, AQ4 kering publisiti tetapi jumlah penonton yang menyaksikan program itu meningkat saban tahun.

Tahun ini saja, AQ4 pernah mencecah jumlah tontonan sebanyak 600,000 orang, satu angka yang memberangsangkan katanya. “Kami di TV9 turut giat menyiarkan promo AQ4. Bagaimanapun, sebagai sebuah stesen televisyen percuma, kami tidak mampu menyiarkan program ini berulang kali seperti mana dilakukan stesen berbayar kerana kami mempunyai banyak lagi program yang menanti siaran.

“AQ4 juga sebenarnya mendapat sambutan yang menggalakkan di luar negara terutamanya di Timur Tengah. Malah menurut peserta kami, ada program seperti AQ yang berjudul Mizman Zahabi atau bermaksud seruling emas diterbitkan di sana, selepas mereka menyaksikan AQ.

“Selain itu, ketika kami menjalankan sesi uji bakat di sebuah kolej di Kedah iaitu Kolej Insaniah, kehadiran kami mendapat perhatian pelajar dari Beijing, China yang mahu mencuba nasib tetapi kami tidak dapat mengambil mereka kerana bukan orang tempatan. Atas sambutan menggalakkan, program ini akan diteruskan untuk musim kelima,” kata Shukri ketika majlis pengumuman nombor giliran peserta peringkat akhir AQ4 yang bakal berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).

Pada pertandingan akhir yang bakal berlangsung jam 9 malam esok (Jumaat 6 Ogos 2010) , empat peserta iaitu Husni Ali Hassan, 25; Ahmad Tirmizi Ali, 25; Yahya Ali, 23 dan peserta termuda Muhammad Ahmad Zahid, 15, bakal bertarung bagi merebut gelaran juara yang sekali gus melayakkan mereka menerima hadiah wang tunai bernilai RM30,000.

Muhammad Ahmad, dari Ampang, Selangor akan memberi saingan sengit biarpun dia peserta paling muda pada peringkat ini.

Pelajar Sekolah Integrasi Darul Hikmah, Ampang Utama yang pernah mengharumkan nama negara apabila bergelar Johan kategori bacaan terbaik pada Anugerah Al-Quran Antarabangsa Dubai ke-12, dua tahun lalu, amat bersyukur apabila berjaya menempah tiket ke peringkat akhir.

Dia yang akan muncul peserta pertama pada pertandingan akhir itu, tidak menganggap kemenangannya di peringkat antarabangsa sebagai satu kelebihan untuk muncul juara. Sebaliknya ada beberapa perkara yang perlu diberikan tumpuan antaranya kawalan pernafasan.

“Perasaan gementar ada sikit-sikit. Apa pun saya gembira kerana muncul sebagai peserta pertama pada peringkat akhir ini nanti. Sebagai peserta pertama sekurang-kurangnya tiada tekanan kerana saya belum melihat peserta yang lain membuat bacaan mereka.

“Sebagai persediaan, saya akan kurangkan makan dan banyak berjoging kerana pernafasan saya pendek. Selain itu, tiada lagi perubahan ketara lain yang akan saya lakukan,” katanya yang pernah menerima Anugerah Saidina Ali sempena Maulidur Rasul peringkat Selangor 2009.

BAGI adik beradik, Ahmad Tirmizi Ali dan Yahya Ali, mereka umpama meneruskan legasi tiga abang yang juga pernah mencuba nasib di dalam AQ1 dan AQ2.

Tiga abang mereka ialah Mohd Syukri Ali pada musim pertama, Mohd Muslim Ali dan Mohd Hafaz Ali musim kedua. Hafaz dan Muslim masing-masing muncul pemenang tempat kedua dan ketiga pada AQ2.

Penyertaan ketiga-tiga abang mereka di dalam program itu menarik minat Tirmizi dan Yahya untuk mencuba nasib.

Bagaimanapun, ketika AQ diperkenalkan, Tirmizi masih menuntut di Mesir dalam bidang Sarjana Muda Qiraat. Manakala minat Yahya pula masih belum bercambah ketika itu, minatnya hanya mula berputik setelah menyaksikan abang-abangnya bersaing di peringkat akhir di PICC.

“Saya tak jangka dapat ke final, tetapi abang saya Tirmizi, memang saya jangka dia melangkah ke akhir. Saya menyertai pertandingan ini kerana mahu mencari keredaan Allah, pengalaman dan mahu menimba ilmu.

“Mempunyai abang yang pernah mempunyai pengalaman menyertai program ini memang memberi kelebihan kepada kami. Ketika pulang ke kampung, saya banyak berlatih dengan abang. Dan bila pulang semula ke sini, saya bermuzakarah bersama rakan-rakan,” kata Yahya, penuntut Institut Pengajian Islam (INSPI) di Kemaman, Terengganu.

Bagi Tirmizi, dia berminat menyertai AQ sejak musim pertama tetapi tidak dapat berbuat demikian kerana berada di Mesir. Dia yang juga rakan sekelas Husni ketika di Mesir mendapat perangsang menyertai program ini atas galakan juara AQ musim pertama, Abdullah Fahmi.

Pemuda yang kini bertugas sebagai Pengurus Masjid Al Hidayah, Kelana Jaya berkata, dia juga tidak menyangka dapat melangkah ke peringkat akhir. Walaupun sering menjadi pilihan pelajar terbaik, tetapi Tirmizi berkata apa saja boleh terjadi pada peringkat akhir nanti.

“Semuanya bergantung kepada bacaan, ini program realiti, bagi saya sesiapa pun boleh menang. Asalkan tidak membuat kesilapan bacaan pada peringkat akhir nanti. Bagi memantapkan lagi mutu bacaan, selain banyak berlatih, saya juga akan melakukan senaman bagi meningkatkan lagi stamina,” katanya.

Berdepan cabaran yang sengit menyebabkan peserta berasal dari Serkam, Melaka, Husni Ali merancang melakukan pelbagai strategi untuk memantapkan bacaannya.
Kata Husni yang kini bertugas sebagai pendakwah bebas, dia akan membuat persiapan bagi memastikan kesihatan tidak terganggu pada hari itu.

“Bila berbadan besar, pernafasan memerlukan latihan. Kalau boleh memanglah nak menang tetapi cabaran dari rakan-rakan semuanya hebat belaka,” kata Husni yang pernah beberapa kali memenangi Tilawah Peringkat Negeri Melaka di tempat ketiga dan juga akan muncul sebagai peserta ketiga.
Berita Harian

No comments:

Post a Comment