Memorandum Persefahaman (MoU) antara Kolej Universiti TATi (TATiUC) dengan MIE Universiti Jepun ditandatangani pada 2 Ogos lalu untuk pembangunan program akademik antara kedua belah pihak.
MoU terbabit ditandatangani Profesor Hideo Kobayashi mewakili MIE Universiti Japan dan Rektor TATiUC, Dr Mohd Rozailan Mamat @ Ibrahim.
Dr Mohd Rozailan berkata, melalui MoU itu, TATiUC dan MIE Universiti akan bertukar tenaga pengajar dan penuntut serta menyediakan tempat pengajian di peringkat Master dan PhD di TATiUC.
“Hal ini sekali gus memberi ruang kepada kedua belah pihak bertukar maklumat akademik selain memperkukuhkan bidang penyelidikan dan kajian (R&D) untuk manfaat bersama,” katanya.
Beliau berkata demikian sejurus selesai sesi menandatangani MoU terbabit yang diadakan di Kampus utama TATiUC di Teluk Kalong, Kijal.'
Menurutnya, bidang kejuruteraan dapat dikembangkan dengan lebih baik selain memberi ruang kepada mahasiswa TATiUC untuk melanjutkan pengajian di Universiti MIE, Jepun.
“Dalam konteks ini, Universiti MIE menawarkan kemudahan asas seperti elaun bulanan, kemudahan tempat tinggal dan penyelia untuk membuat penyelidikan bersama.
"Ini satu kelebihan buat TATiUC memandangkan MIE antara universiti terbaik di Jepun dan mampu memberi komitmen tinggi terhadap MoU ini,” katanya.
Menurutnya, kedua belah pihak juga bersetuju untuk berkongsi hasil penyelidikan demi memastikan TATiUC mampu melonjakkan namanya dalam bidang Kejuruteraan Kimia, Pembuatan Robotik dan Komputer.
“Melalui konsep budaya kerja dan pandang ke timur, Universiti MIE bersetuju melakukan pertukaran pelajar dalam memperkenalkan budaya dan sara hidup di Jepun. Universiti ini telah mengadakan kerjasama dengan 36 buah Institusi terbaik di rantau Asia,” katanya.
Menurutnya, pengalaman Universiti MIE amat penting bagi TATiUC dalam mencapai visi dan misi yang ditetapkan selain memperkukuhkan nama TATiUC di negara luar.
No comments:
Post a Comment