Tuesday, August 10, 2010

EPIC Nafi Pegangan Saham Utama Akan Bertukar Tangan

Eastern Pacific Industrial Corporation Bhd (EPIC) semalam menolak khabar-khabar angin bahawa pegangan saham utama syarikat itu akan bertukar tangan.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Ramli Shahul Hameed berkata, sejak khamis lepas harga saham syarikat di Bursa Malaysia itu telah mengalami kenaikan mendadak daripada RM1.80 seunit kepada RM2.30 seunit.

Faktor itu dipercayai ekoran khabar angin yang menyatakan akan berlaku pertukaran pegangan saham utama syarikat itu seperti disiar oleh sebuah akhbar mingguan yang tertumpu kepada isu-isu kewangan dan pelaburan minggu lepas.

"EPIC gembira dengan kenaikan harga itu, namun syarikat menafikan kenaikan harga saham itu berlaku ekoran faktor akan berlaku pertukaran pegangan saham utama syarikat ini seperti yang tersebar sejak Khamis lepas, " katanya ketika menghubungi Bernama di sini pada Isnin.

Sebaliknya, Ramli berkata pergerakan lonjakan harga saham itu berlaku disebabkan prestasi semasa EPIC yang berjaya mencatatkan pendapatan RM109 juta bagi tempoh setengah tahun ini.

Katanya prestasi itu merupakan peningkatan 21 peratus berbanding RM90 juta dalam tempoh yang sama pada tahun lepas.

Sementara itu, keuntungan sebelum cukai dalam tempoh yang sama juga meningkat 31 peratus, iaitu daripada RM27.8 juta tahun lepas kepada RM36.4 juta tahun ini.

"Bagi tempoh berakhir 30 Jun lepas, EPIC telah berjaya mencatatkan keuntungan bersih RM24 juta berbanding RM21.7 juta tempoh yang sama tahun lepas dan ia merupakan kenaikan 13 peratus," katanya.

Katanya, semua kejayaan itu dicapai hasil prestasi cemerlang EPIC dalam semua operasinya termasuk Pelabuhan Kemaman dan Kemaman Supply Base (KSB), sebuah pangkalan logistik minyak Bumiputera terkemuka di dalam Zon Pembangunan Minyak di Kemaman, Terengganu.

No comments:

Post a Comment