Persatuan Nelayan Kuala Terengganu Selatan memberi jaminan harga ikan tongkol hitam yang lazim mendapat permintaan tinggi menjelang Hari Raya Aidilfitri tidak akan melebihi RM10 sekilogram pada musim perayaan kali ini.
Pengerusinya Hamzah Jusoh berkata ini kerana jumlah pendaratan ikan itu di Terengganu sekarang semakin bertambah berbanding bulan lepas.
"Harga ikan musim raya kita akan tetapkan berdasarkan sumber, kalau ikan banyak mungkin harganya murah lagi," katanya semalam.
Hamzah berkata Terengganu memerlukan sekurang-kurangnya 10 tan metrik ikan tongkol atau lebih dikenali sebagai ikan aya hitam pada kalangan rakyat di negeri itu, bagi menampung keperluan pada musim perayaan ini.
Ikan tongkol adalah lauk utama nasi dagang, iaitu makanan tradisi masyarakat Terengganu khususnya ketika sambutan Hari Raya Aidilfitri.
Katanya, pembekal juga sudah mula menyimpan stok ikan tongkol sebagai langkah mengatasi kekurangan bekalan pada musim perayaan nanti, selain akan mengimport dari Kuantan atau Perlis jika bekalan tempatan tidak mencukupi.
Beliau berkata harga ikan itu di Kompleks Perikanan Pulau Kambing pada masa sekarang ini adalah antara RM8 dan RM9 sekilogram, manakala harga di pasar adalah antara RM10 dan RM11.
Hamzah berkata sekurang-kurangnya 20 bot pancing, bubu dan pukat tunda mendaratkan ikan setiap hari di kompleks itu sejak awal bulan ini.
No comments:
Post a Comment