Pelajar pelbagai kaum di Universiti Malaysia Terengganu (UMT) mengadakan Program Bubur Lambuk 1Malaysia yang dimasak secara bergotong-royong di Dataran Canselori, UMT, Kuala Terengganu, semalam.
Menyediakan bubur lambuk sebagai juadah Ramadan untuk diagih-agih kepada orang ramai sudah menjadi tradisi umat Islam di seluruh negara.
Di masjid, surau dan di mana sahaja, kegiatan itu bukan sahaja dapat memeriahkan suasana bulan mulia itu tetapi juga dapat merapatkan hubungan sesama anggota masyarakat.
Universiti Malaysia Terengganu (UMT) di sini turut tidak terkecuali untuk menjayakan acara tradisi itu yang dikenali Program Bubur Lambuk 1Malaysia.
Persiapan dilakukan seawal pukul 9 pagi oleh para mahasiswa dan kakitangan UMT untuk menyediakan enam kawah bubur lambuk dengan tiga resipi berbeza dari Terengganu, Kedah dan Johor.
Program yang julung-julung kalinya diadakan itu bertujuan mengukuhkan hubungan antara pelajar dan kakitangan UMT selain memperkenalkan menu tersebut kepada mahasiswa antarabangsa.
Menurut Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UMT, Prof. Dr. Yahaya Ibrahim, program tersebut bakal dijadikan acara tahunan.
"Sebelum ini, kita juga pernah mengadakan program memasak asyura secara beramai-ramai di sini dan ekoran sambutan yang menggalakkan daripada mahasiswa, pada tahun ini kita anjurkan pula memasak bubur lambuk.
"Program ini dilihat dapat mengeratkan silaturahim di kalangan warga kampus serta mendedahkan kalangan pelajar antarabangsa terhadap keenakan juadah berbuka ini," katanya.
Sebanyak 2,000 bungkusan bubur lambuk diagihkan kepada seluruh warga UMT kira-kira pukul 2 hingga 4 petang.
Utusan Malaysia
No comments:
Post a Comment