Saturday, August 14, 2010

Jabatan Perikanan Guna Satelit Kumpul Maklumat Penyu Belimbing

Dalam usaha meningkatkan perlindungan dan pemuliharaan penyu belimbing di negara ini, Jabatan Perikanan Malaysia menggunakan teknologi satelit bagi mengumpul maklumat mengenai spesies terancam itu.

Ketua Pengarahnya Datuk Ahamad Sabki berkata pemasangan peranti 'Platform Transmitter Terminal' (PTT) pada seekor penyu belimbing yang dinamakan 'Puteri Rantau Abang' diharap dapat membantu jabatan mengenal pasti tabiat pemakanan serta corak migrasi haiwan itu.

"PTT yang dibeli dari New Zealand dengan harga RM7,000 itu juga mampu membekalkan data mengenai maklumat ekologi seperti kadar kemasinan serta suhu air laut dan ia penting bagi saintis mengetahui keadaan laut yang sesuai untuk penyu belimbing," katanya.

Beliau yang ditemui pemberita selepas menyaksikan pelepasan Puteri Rantau Abang ke laut di Rantau Abang Rabu petang, berkata kajian itu dianggar menelan belanja sehingga RM20,000.

Penyu belimbing betina berusia 32 tahun dengan berat mencecah 500 kg itu adalah hasil projek penetasan penyu di Terengganu pada 1978, dan ia dikenali berdasarkan tanda yang diletak padanya sebelum dibebaskan ke laut.

Puteri Rantau Abang dikesan buat pertama kali ketika bertelur di sini pada 15 Julai lepas dan kembali semula pada 26 Julai serta 6 Ogos.

Selepas mengeluarkan 217 telur, penyu itu ditangkap dan dikurung di dalam tangki bagi tujuan pemasangan peranti sebelum dilepaskan semula ke laut semalam.

"Kita menjangkakan penyu ini akan berenang menuju ke perairan Vietnam dan Jepun dan seterusnya memasuki perairan Lautan Pasifik. Mungkin juga ia berenang ke arah selatan menuju perairan Indonesia, Kepulauan Solomon dan terus ke Australia atau New Zealand.

"Bagaimanapun kita mendoakan supaya Puteri Rantau Abang ini akan selamat serta berenang kembali ke Rantau Abang dan kita menjangkakan ia berlaku di antara 16 hingga 19 Ogos ini," kata Ahamad.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Infrastruktur dan Kemudahan Awam negeri Datuk Za'aba Mohd Adib yang turut hadir berkata setakat ini hanya tiga ekor penyu belimbing telah mendarat dan menghasilkan enam sarang telur di Rantau Abang.

No comments:

Post a Comment