Saturday, August 14, 2010

Qi Tanda Kemasukan Ke Malaysia Dengan Pengambilalihan Strategik

Oleh Mikhail Raj Abdullah (Bernama)

Qi Group, satu syarikat e-niaga global yang berpangkalan di Hong Kong, yang diketuai oleh usahawan Datuk Vijay Eswaran, berasal dari Terengganu, kini sedang menimbangkan untuk mengambil alih hartanah strategik di Malaysia di dalam bidang liburan, hospitaliti dan industri berkaitan kesihatan, yang termasuk menubuhkan hospital pakar termampu, yang dilihat sebagai "sireh pulang ke gagang" jutawan itu.

Ini, beserta pembelian bangunan bernilai RM60 juta oleh kumpulan itu di Seksyen 8 di sini sebagai ibu pejabat serantaunya dan perancangan meninggi gunung bagi pembinaan pusat peranginan Endau-Rompin, menandakan komitmennya dan kemasukannya ke Malaysia secara besar-besaran.

Ibu pejabat serantau di sini itu akan menyatukan operasinya di Indonesia, Singapura, Thailand dan Filipina, katanya kepada Bernama di Petaling Jaya.

Vijay, yang muncul di kalangan tokoh kewangan Hong Kong sejak sedekad yang lepas, berkata sebagai konglomerat yang mempunyai jangkauan global, kumpulan itu akan terus mencari hartanah terbaik di Thailand, Mauritius, Maldives dan Kenya selain Malaysia bagi mengembangkan perniagaan liburan dan hospitalitinya.

Sungguhpun begitu, fokus semasanya ialah untuk berpindah ke Malaysia secara besar-besaran dan membina rekod prestasi dengan institusi kewangan.

"Kami boleh membeli bangunan ibu pejabat itu secara sendirian dari dana sendiri. Tetapi, kami mendapatkan pembiayaan 60 peratus bagi membina kredibiliti kewangan dan nama baik di negara ini," katanya.

Qi Group, yang bermula sebagai syarikat e-niaga pada 1998, kini berkembang sebagai satu konglomerat pelbagai negara dengan enam perniagaan utama -- telekomunikasi, gaya hidup dan liburan, barang mewah dan benda-benda yang boleh dikumpul, latihan dan pengurusan persidangan, pembangunan hartanah dan perniagaan jualan langsung dengan anak syarikat di 30 negara.

Vijay berkata kehadiran berterusan dan dipertingkatkan oleh kumpulan itu di Malaysia juga disokong oleh kepercayaan terhadap potensi ekonomi negara ini dan keperluan untuk membina keperibadian tempatannya sendiri.

Usaha sama besar Qi yang sedang dilaksanakan di Malaysia ialah projek pusat peranginan Endau-Rompin di Pahang yang meliputi kawasan 200 ekar (kira-kira 80 hektar) pada kos pembangunan US$250 juta.

Perancangan dilakukan untuk melaksanakan rancangan jangka panjang yang akan menyediakan satu marina, pembangunan bercampur-campur, villa, satu hotel butik serta pusat budaya dan warisan apabila ia beroperasi di dalam tempoh lima tahun akan datang, katanya.

Kawasan itu dibeli pada harga awal US$28.1 juta (RM70 juta).

Kumpulan itu juga akan menubuhkan lima hospital pakar swasta di dalam tempoh tiga tahun dengan pelaburan RM18-RM20 juta setiap satu dengan menyediakan perkhidmatan perubatan termampu di dalam pelbagai bidang seperti pembedaan, dermatologi, operasi kecemasan dan klinik am.

Salah satu hospital berkenaan akan dibina di luar kawasan bandar seperti Banting di mana tanahnya telah diperolehi.

Hospital empat tingkat itu, dengan 40-60 katil itu, dijangka beroperasi sepenuhnya dalam tempoh dua tahun. Kawasan berpotensi yang lain termasuk Kluang dan Kuantan.

Katanya: "Kami berharap hospital termampu itu dapat menarik pelancong perubatan ke Malaysia yang merupakan satu insentif untuk menarik pelancong kerana Malaysia menawarkan jauh lebih murah dari Singapura. Ia sesuai dengan strategi pelancongan kita."

Vijay berkata syarikat itu juga sedang bekerjasama dengan kerajaan negeri Pahang untuk membina Pekan Istana, iaitu satu istana klasik, yang dibina tanpa menggunakan sebatang pakupun atau penggunaan simen dan terletak di kawasan istana.

"Malaysia tidak menggunakan budaya dan warisan seperti yang digunakan seperti di Bali dan Thailand (dan) lebih-lebih lagi budaya di Pahang, Terengganu dan Kelantan yang perbezaan ketara dengan yang di pantai barat," kata Vijay.

Vijay, teruja untuk memperkenalkan budaya dan warisan negeri itu yang kaya dengan arkitektur Melayu pantai timur dan bukan setakat keindahan pantai dan lautannya.

Sebaik sahaja Pusat Peranginan Endau-Rompinnya beroperasi dalam tempoh lima tahun lagi, kumpulan itu juga merancang membangunkan tasik yang terkenal dengan lagendanya, bagi digandingkan dengan kawasan hutan warisan yang berusia 100 juta tahun Endau-Rompin.

"Kami akan memulihara paya bakau dan persekitaran hartanahnya dan mambina kabin menggunakan tiang bagi memulihara keseimbangan ekologi projek itu," katanya.

Mengenai pulangan daripada pelaburan itu, katanya ia akan memberikan pulangan yang menguntungkan kerana pusat peranginan itu sendiri akan dikunjungi oleh pasaran pelancongan khusus dari Vacation Clubnya yang mempunyai data pelanggan enam juta pelanggan di seluruh dunia.

Kumpulan yang sangat dipelbagaikan itu sememangnya telah membawa masuk pelancong ke Malaysia, Thailand, Bali dan Timur Tengah.

Bagi tujuan itu, kumpulan itu juga sedang mencari satu hotel bandar di Kuala Lumpur yang boleh menjadi tapak perhentian sebelum bertolak dan menikmati keindahan di Endau-Rompin dan Tasik Chini.

Kumpulan itu sedang berunding dengan dua hotel, "tetapi kami mungkin tidak akan mengambil alih kedua-duanya. satu terletak di Jalan Sultan Ismail di KL dan satu lagi PJ, berdekatan Amcorp Mall" yang menempatkan operasi semasa Qi.

"Kami juga sedang mengkaji hartanah di Mauritius, Kenya bagi safari, dan satu pulau di Maldives bagi menambah kepada pelan pembesaran kami," katanya.

Di pusat peranginan miliknya di pulau Koh Samui di Thailand, katanya kumpulan itu sedang membina hotel mewah kedua di sepanjang pantai Boh Put pulau itu.

Majlis pecah tanah pusat peranginan kedua di Koh Samui akan dilaksanakan pada bulan ini.

Vijay berkata kumpulan itu juga merancang mendapatkan hartanah di Sabah dan Sarawak, kemungkinan di pulau di luar pantai Sandakan serta di Balik Pulau, Pulau Pinang."

Katanya usaha mencari hartanah yang mempunyai lokasi yang baik tidak akan berhenti bagi keperluan syarikat itu, yang sememangnya mempunyai kebaikan dan keburukan.

Yang baiknya, beliau berkata pengambilalihan hartanahnya dilakukan menggunakan dana dalaman, yang sekaligus menimbulkan keburukan yang menyebabkan syarikat itu tidak dikenali oleh institusi kewangan.

"Sebab itu kami kini menukar strategi untuk berunding dengan bank bagi mendapatkan pinjaman dan secara sewa beli berbanding dengan pelbelian terus," katanya.

"Ibu pejabat PJ berkenaan telah memberikan kami asas yang baik di segi nilai kredit kami," kata Vijay.

Para pekerja syarikat itu telah mulai berpindah ke ibu pejabat baharunya di PJ8 di Petaling Jaya.

Pada peringkat awal, ia akan menempatkan operasi kewangan, pentadbiran, teknologi maklumat dan audit dan akan diikuti oleh fungsi luaran yang lain, seperti kerja grafik di Thailand, "copyrighting" (Filipina), pusat panggilan (yang dibahagi antara Filipina dan Malaysia), perundangan serta pengembaraan dan percutian (Singapura).

"Jabatan demi jabatan sedang disatukan kerana terlalu besar dan pekerja di sini kini lebih 400 orang berbanding dengan hanya 80 orang lima tahun lepas bagi menyokong operasi global kami," katanya, yang jelas mengesahkan Qi akan berada lama di Malaysia.

No comments:

Post a Comment