'Saya dah serik. Disebabkan mercun saya tak dapat beraya tahun ini. Kasihan pada keluarga sebab kena jaga saya di sini. Baju raya sudah beli tapi saya pasti tidak dapat memakainya," - Irwan Mustaffa
"Saya tak mahu main mercun dah lepas ini. Harap kawan-kawan yang lain pun jangan main mercun nanti jadi macam saya," kata Irwan Mustaffa Abu Bakar yang masih terlantar di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di Kuala Terengganu.
Irwan, 9, cedera di mata kanan akibat terkena letupan mercun dalam kejadian di Batu Enam, Manir, dekat sini pada Ahad lalu dan berharap tidak akan menyambut Aidilfitri di HSNZ.
Dia adalah murid Sekolah Kebangsaan Tok Jiring, Seberang Takir, dipercayai bermain mercun tersebut seorang diri di hadapan rumahnya pada pukul 6.30 petang.
Ketika ditemui kelmarin, Irwan yang kelihatan agak lesu, sesekali menahan rasa sakit di bahagian mata kanannya yang dipercayai masih belum sembuh selain penglihatannya disahkan kabur.
Anak bongsu daripada sembilan beradik itu berjanji tidak akan menyentuh lagi mercun pada musim perayaan akan datang.
''Saya dah serik. Disebabkan mercun saya tak dapat beraya tahun ini. Kasihan pada keluarga sebab kena jaga saya di sini.
"Baju raya sudah beli tapi saya pasti tidak dapat memakainya," katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di sini.
Sementara itu, menurut abang mangsa, Zulkifli, 23, dia dan ahli keluarganya bergilir-gilir menjaga Irwan di hospital sejak adiknya itu dimasukkan ke dalam wad.
Jelasnya, dia mengakui persiapan raya tahun ini hambar ekoran kejadian yang menimpa adiknya itu.
"Nampaknya tahun ini kami sekeluarga tidak membuat sebarang persiapan memandangkan Irwan masih di hospital.
"Kita sambut raya ala kadar sahajalah tahun ini. Lagipun doktor masih tidak pasti berapa lama dia akan berada di sini," katanya.
Menurut Zulkifli, ekoran kejadian itu, ahli keluarga yang lain turut merasai kesedihan yang menimpa Irwan memandangkan dia merupakan seorang yang periang dan sering mengundang gelak tawa di kalangan keluarga.
"Irwan memang seorang anak yang mendengar kata dan dia tidak pernah melawan selain suka bergurau, sebab itu kami terkejut ketika dia terkena mercun kerana selama ini dia tidak pernah bermain mercun.
"Bagaimanapun kejadian tersebut benar-benar memberi pengajaran kepadanya kerana dia berulang kali memberitahu tidak akan bermain mercun lagi," jelasnya.
Utusan Malaysia
No comments:
Post a Comment