Datuk Ahmad Said sudah mengarahkan supaya Fasa B projek berkenaan diteliti dan dimulakan segera sebaik Fasa A selesai. Pakej B dijangka melibatkan pembinaan terminal bas dan teksi serta ruang niaga di tingkat atas, dan berkemungkinan dapat dimulakan tahun depan.
Tidak timbul Kerajaan Negeri ‘pulaukan’ pembinaan Jerteh Souq (kompleks bazaar dan kemudahan awam). Dakwaan liar itu sengaja diada-adakan untuk memburukkan kepimpinan negeri.
Ternyata cakap-cakap berkenaan sengaja dilakukan sedangkan sikap kerajaan negeri tidak sedemikian.
Projek bersepadu Jerteh Souq yang meliputi pembinaan infrastruktur membabitkan kawasan sepanjang 700 meter dari Kampung Balik Bukit melalui pesisir Sungai Jerteh sehingga ke Masjid Hadhari di bandar berkenaan, tetap diteruskan.
Malah Menteri Besar, Datuk Ahmad Said sudah mengarahkan supaya Fasa B projek berkenaan diteliti dan dimulakan segera sebaik Fasa A selesai.
Pakej B dijangka melibatkan pembinaan terminal bas dan teksi serta ruang niaga di tingkat atas, dan berkemungkinan dapat dimulakan tahun depan.
Difahamkan, bagi Fasa B akan mambabitkan peruntukan kerajaan Pusat di bawah Kumpulan Wang Amanah Pengangkutan Awam yang pada dasarnya telah dipersetujui untuk kelulusan dan kemungkinan dimeterai penghujung tahun ini.
Mengenai Fasa C, sehingga ini belum dapat dijangkakan bila projek membabitkan pembinaan pasar basah akan menjadi kenyataan.
Bagi Fasa A, kerja-kerja yang terbengkalai pada peringkat 80 peratus itu telah disambung semula dua bulan lalu oleh kontraktor yang sama dan kerajaan negeri mahukan ia disiapkan secepat mungkin.
Walaupun tidak termasuk dalam acara lawatannya ke Jerteh, Ahmad Said mencuri masa untuk melihat dan meninjau sendiri kemajuan pembinaan kompleks pasar Fasa A bernilai RM22 juta itu.
Sebaik makan tengah hari selepas merasmikan Medan Selera Jertih, beliau bergegas ke kawasan pembinaan Jerteh Souq dengan ditemani wakil kontraktor projek berkenaan.
Pakej A projek pembinaan Jertih Souq itu bernilai RM22 juta yang terhenti sejak kira-kira setahun lalu dan menimbulkan persoalan umum kini diteruskan.
Projek yang dimulakan pada 2007 itu merupakan bazar bagi menempatkan beratus peniaga kecil dan dijadualkan siap pada penghujung tahun lalu.
Jertih Souq dibahagikan kepada tiga fasa termasuk terminal bas dan teksi, ruang-ruang niaga dan pejabat serba moden di samping pasar basah yang keseluruhan dianggarkan bernilai RM70 juta.
Selain menjana ekonomi penduduk setempat, ia dirancang bagi mengubah wajah bandar itu yang masih dianggap sebagai sebuah pekan lama.
''Projek ini tiada masalah dari segi kerajaan tetapi ia berdepan dengan masalah teknikal di pihak kontraktor," ujarnya.
Ahmad Said berkata menjadi lumrah kalangan kontraktor yang memberi jaminan mampu melakukan kerja dengan baik malah dapat menyiapkan lebih awal daripada yang dijadualkan.
Berikutan itu, ia tidak akan melibatkan peruntukan tambahan oleh kerajaan negeri.
Perkataan 'Souq' diambil daripada perkataan Parsi yang membawa maksud deretan kedai-kedai kecil, bersesuaian dengan konsep pembinaannya.
Sementara itu, Yang Dipertua Majlis Daerah Besut, Wan Mustafa Wan Hasan memberitahu Utusan Malaysia, masalah teknikal yang merencatkan pembinaan fasa pertama itu disebabkan ia tidak mengikut spesifikasi asal.
''Sehubungan itu juga, Institut Kerja Raya Malaysia(Ikram) telah diminta membuat kajian mengenai bahagian-bahagian binaan yang diragui," ujarnya.
No comments:
Post a Comment