Sunday, August 8, 2010

MAS Tawar 55 Penerbangan Tambahan Ketika Raya Dan Cuti Sekolah

Penerbangan Malaysia (MAS) menawarkan 55 penerbangan tambahan bermula 4 hingga 9 Sept ini bagi memenuhi keperluan ketika sambutan Hari Raya Aidilfitri dan cuti sekolah.

Pengurus Besar Kanan (Strategi Komersial) MAS Dr Amin Khan berkata ianya termasuk empat laluan di Malaysia Barat iaitu Kota Baharu (16 penerbangan), Kuala Terengganu (3), Alor Setar (2) dan Pulau Pinang (satu penerbangan).

Laluan lain ialah ke Kota Kinabalu (12 penerbangan), Kuching (10), Tawau (3), Miri (3) dan Sibu (satu penerbangan), katanya dalam satu kenyataan, di Kuala Lumpur.

Selain itu MAS juga menambah dua penerbangan bagi laluan Kuching-Johor Baharu.

"Kita akan memantau permintaan dan akan menambah jumlah penerbangan jika perlu," katanya.

Penumpang juga dinasihatkan membeli tiket lebih awal dan kesemua tiket bagi penerbangan tambahan tersebut boleh ditempah menerusi www.malaysiaairlines.com dan www.flymas.mobi.

No comments:

Post a Comment