Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak (kanan) mempengerusikan mesyuarat Majlis Kewangan Negara 2010 yang turut dihadiri oleh menteri-menteri besar dan ketua menteri, di Kementerian Kewangan, Putrajaya, 20 Ogos.
Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said semalam menghadiri Mesyuarat Majlis Kewangan Negara di Putrajaya yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Beliau adalah antara Menteri Besar, Ketua Menteri serta pegawai tinggi kerajaan Persekutuan yang menghadiri mesyuarat berkenaan.
Antara perkara penting dibincangkan ialah defisit kerajaan, tarif air, cukai tanah dan pelaburan oleh pelabur tempatan selain pakej rangsangan ekonomi.
Menurut Najib, Kerajaan Pusat pada prinsipnya bersetuju supaya cadangan kenaikan tarif air dan cukai tanah di semua negeri diseragamkan pada masa depan.
Perdana Menteri berkata bagaimanapun perkara itu tertakluk kepada persetujuan negeri-negeri tanpa mengira fahaman politik mengenai kedua-dua cadangan berkenaan.
"Dalam soal hasil tanah dan juga daripada segi kos bekalan air, kita akan cuba mendapatkan persefahaman dalam hal ini.
"Dalam erti kata lain, kalau ada cadangan hendak naikkan harga air atau cukai tanah, kita sedang cuba untuk mendapatkan pendirian yang seragam atau bersama di antara semua kerajaan negeri," katanya.
Najib berkata beliau memberi tempoh dalam bulan Ramadan ini kepada semua kerajaan negeri memaklumkan kepadanya sama ada mereka bersetuju supaya beliau menjadi hos kepada satu perbincangan selepas Hari Raya bagi mencari kata sepakat dalam hal tersebut.
Katanya ini memandangkan kerajaan negeri menghadapi tekanan pendapatan dan sumber yang terhad manakala kos untuk segala tanggungjawab kerajaan negeri, termasuk bekalan air kian meningkat.
"Jadi kalau ada cadangan untuk menaikkan harga air dan cukai tanah, (maka) akan berlaku unsur politik dalam hal ini. Tetapi kalau semua negeri bersetuju, tiadalah mainan politik sama sekali.
"Ini satu gambaran yang begitu positif sekiranya dapat dicapai dalam masa terdekat. Belum pernah lagi kita dapat melakukan perkara ini," katanya.
Najib yang juga Menteri Kewangan berkata selepas mesyuarat berkenaan, adalah lebih baik kerajaan mengukuhkan kekuatan fundamental daripada memperkenal pakej rangsangan ekonomi secara kerap bagi menangani kelembapan ekonomi.
Menurutnya, negara perlu mengelak daripada terlalu kerap memperkenal pakej rangsangan kerana setiap kali diperkenalkan, defisit kerajaan akan bertambah.
Namun begitu, katanya, rangsangan, terutama kepada pelabur tempatan untuk membuat pelaburan, perlu diteruskan.
"Jika kita dapat melakukan perkara ini dan projek-projek yang mempunyai kesan limpahan yang besar kepada ekonomi negara, kesan pengganda utama dapat kita laksanakan ... jika tahun depan ada sedikit penurunan dari segi permintaan luar, kita masih boleh mencapai sasaran enam peratus itu,
"Rangsangan fiskal adalah pilihan terakhir. Ia tidak boleh dianggap sebagai sesuatu yang wajar. Dan ia tidak boleh kita lakukan secara tetap," katanya.
Bagi menangani kesan krisis ekonomi yang melanda dunia lewat beberapa tahun lepas, kerajaan memperkenal pakej rangsangan ekonomi negara berjumlah RM67 bilion.
No comments:
Post a Comment