Sunday, August 22, 2010

Isu cukai taksiran TNB hampir selesai

Isu pembayaran cukai taksiran tahunan oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB) kepada Majlis Daerah Hulu Terengganu dijangka diselesaikan dalam tempoh terdekat.

Difahamkan, kata putus soal kadar bayaran setimpal ekoran pembinaan empangan Kenyir itu pada asasnya telah mendapat persetujuan kedua-dua belah pihak.

Ia akan membolehkan pihak berkuasa tempatan itu mendapat semula bayaran berkenaan yang dapat membantu meningkatkan sumber kewangan bagi urusan pentadbiran dan pembangunan.

Bayaran terhenti sejak beberapa tahun lalu apabila pertikaian berhubung cukai taksiran tahunan yang dikatakan begitu tinggi melebihi RM4 juta setahun dirujuk ke mahkamah tinggi.

Pengurus Besar TNB Terengganu, Md. Yuslan Md. Yusof ketika ditemui semalam tidak menolak kemungkinan usaha dilakukan bagi mencari penyelesaian di luar mahkamah.

Bagaimanapun beliau tidak mengulas lanjut mengenai cukai berkenaan yang dibangkitkan semula dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) baru-baru ini.

Dalam sidang itu, TNB diminta agar tidak terlalu ‘berkira’ dalam soal pembayaran cukai taksiran tahunan berkenaan.

Penyokong kerajaan, Mohd. Zawawi Ismail (BN-Kuala Berang) berkata, cukai yang berkait dengan pembinaan empangan Kenyir ini sewajarnya tidak terus ditangguhkan.

Mohd. Zawawi berkata, itu dapat disalurkan kepada rakyat melalui pelbagai kemudahan setimpal dengan pengorbanan penduduk apabila kawasan begitu luas bertukar menjadi tasik.

Di luar Dewan, Mohd. Zawawi kemudian memberitahu, sejak Ogos 1999 sehingga April 2007, TNB telah membayar cukai sebanyak RM10 juta.

“Namun saya difahamkan baki cukai yang belum dibayar dan tertunggak dan denda kelewatan sebanyak RM22 juta,” ujar Mohd. Zawawi.

Md. Yuslan memberitahu, TNB sentiasa memberi perhatian terhadap aspek kebajikan di negeri ini dan Hulu Terengganu khususnya.

“Ia bagi memenuhi sebahagian daripada tanggungjawab sosial organisasi yang tidak berorientasikan keuntungan semata-mata.

“Ia juga selaras hasrat kerajaan negeri ‘merakyatkan’ pembangunan dengan TNB membantu dalam ruang-ruang tertentu,” ujarnya.

Beliau menarik perhatian, ini termasuklah mengambil sekolah angkat bagi menggerakkan projek sekolah Pintar, mengadakan program Bersama Rakyat, membaik pulih rumah dan pendawaian percuma.

No comments:

Post a Comment