Thursday, August 12, 2010

MBKT Atasi Kesesakan, Memperindah Bandar Raya

Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) telah dan sedang mengambil pelbagai langkah untuk mengatasi masalah kesesakan dan juga memperindah bandar raya ini.

Datuk Bandarnya Datuk Adzlan Mohd Dagang berkata bagi tujuan itu, terminal bas bersepadu akan dibina di pinggir bandar iaitu di Bukit Besar membabitkan peruntukan RM63 juta.

Ini sebagai tambahan kepada tempat letak kereta tiga tingkat dengan kapasiti 250 buah kenderaan bernilai RM9.8 juta di Batas Baru yang dijangka siap akhir tahun ini, katanya diKuala Terengganu, kelmarin.

Bagi memperindah dan menceriakan bandar raya ini, katanya mercu tanda akan dibina di pintu-pintu masuk ke Bandaraya Kuala Terengganu iaitu Chendering, Padang Midin, Lapangan Terbang Sultan Mahmud dan Batu Rakit.

MBKT juga membaik pulih landskap di jalan-jalan utama dan menaik taraf landskap sedia ada di Taman Bunga Raya dan Arca Piala Monsun berhampiran Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, katanya.

"Taman-taman awam juga diberi penambahbaikan dengan penambahan pusat beriadah dan taman permainan bagi keselesaan orang ramai," katanya.

Adzlan berkata MBKT juga akan mempunyai bangunan sendiri setinggi 18 tingkat yang akan dibina di Muara Selatan Bandaraya Kuala Terengganu tidak lama lagi.

Beliau berkata pembinaan menara MBKT itu akan dapat meningkatkan imej organisasi MBKT di samping dapat memberi keselesaan kepada warga kerjanya.

"MBKT juga merancang untuk membangunkan pusat perniagaan baru di Gong Badak yang akan melibatkan dua kawasan utama iaitu Metro Pacific dan Rimba Jaya. Ia juga boleh menjadi pemangkin kepada pembangunan Gong Badak," katanya.

No comments:

Post a Comment