Thursday, August 12, 2010

Bank Rakyat Akab Buka Cawangan di Terengganu

Bank Kerjasama Rakyat Malaysia Bhd (Bank Rakyat)dijangka membuka 10 buah lagi cawangan baru bagi tempoh lima bulan akan datang ini.

Ini termasuk empat cawangan baru di Sarawak, tiga di Sabah dan masing-masing satu di Kedah, Pahang dan Terengganu.

Bank Rakyat menjangka mencatat keuntungan sebelum cukai RM1.7 bilion bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember, 2010, kata Pengurus Besar Operasi Cawangannya, Ahmad Kidzbullah Redzuan.

Katanya jangkaan tahun ini lebih tinggi berbanding keuntungan tahun lepas iaitu sebanyak sebanyak RM1.55 bilion.

"Kami yakin mencapai keuntungan RM1.7 bilion sepanjang tahun ini kerana sejak Januari hingga Jun lepas, keuntungan yang dicatatkan sudah melebihi RM826 juta," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan zakat perniagaan sebanyak RM229,500 kepada 2,295 pelajar sekolah Daerah Seberang Perai Utara dan Seberang Perai Tengah di Kepala Batas, kelmarin.

Katanya jangkaan keuntungan itu adalah hasil perniagaan operasi runcit dan pembiayaan komersil oleh kesemua 125 cawangan Bank Rakyat di seluruh negara.

Yang turut hadir pada majlis itu ialah Ketua Wilyah Utara Bank Rakyat Mohd Azmir Mohd Nasurdin.

Ahmad Kidzbullah berkata jangkaan berkenaan juga dibuat berpandukan perkembangan semasa termasuk langkah Bank Rakyat untuk membuka 10 buah lagi cawangan baru bagi tempoh lima bulan akan datang ini.

"Bank Rakyat akan membuka empat cawangan baru di Sarawak, tiga di Sabah dan masing-masing satu di Kedah, Pahang dan Terengganu," katanya.

Terdahulu, pada majlis itu, beliau berkata pemberian zakat dan sumbangan adalah salah satu aktiviti tanggung jawab sosial korporat bank kepada masyarakat.

"Baru-baru ini, Bank Rakyat telah menyampaikan RM893,523 zakat perniagaan bagi tahun 2009 kepada Pusat Urus Zakat Pulau Pinang untuk diagihkan kepada golongan asnaf dan kita turut memberikan zakat kepada golongan yang layak di negeri ini melalui cawangan-cawangan,"katanya.

No comments:

Post a Comment