Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) sedang mengambil langkah proaktif bagi menangani masalah kesesakan teruk jalan raya di sekitar pusat bandar raya menjelang Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri.
Ini termasuklah membuka lebih banyak ruang meletak kenderaan di beberapa lokasi termasuk Kompleks Paya Bunga dan di Kampung Cina yang mampu menempatkan lebih 300 kenderaan.
Datuk Bandar MBKT, Datuk Adzlan Mohd. Dagang berkata, kedua-dua medan letak kereta itu sudah siap dan dijangka dapat digunakan tidak lama lagi.
Beliau memberitahu, keperluan menampung kenderaan yang semakin bertambah turut mendorong pembinaan medan meletak kenderaan bertingkat di kawasan Batas Baru di sini yang bakal menyediakan 240 lot dan dijangka siap tahun depan.
"Kita (MBKT) sentiasa peka dengan masalah meletak kenderaan di pusat bandar raya ini dan sebab itulah kita akan sediakan ruang letak kereta yang mencukupi demi keperluan dan keselesaan orang ramai.
"Kita juga yakin masalah ini (kesesakan lalu lintas) terutama di tengah-tengah bandar raya ini akan dapat ditangani dengan sebaiknya dari semasa ke semasa," katanya kepada Mingguan Malaysia semalam.
Adzlan memberitahu, walaupun diketahui penyediaan medan letak kereta itu agak jauh, ia dapat mendidik orang ramai mengamalkan budaya hidup sihat dengan berjalan kaki ke tempat yang dituju.
"Cara ini dapat mendidik orang ramai supaya jalan kaki jauh sedikit, kita kena terima hakikat yang bandar raya kita semakin maju dan sesak," ujarnya.
Beliau selanjutnya berkata, pihaknya juga akan memastikan kawasan sepanjang kaki jalan di depan institusi perbankan di Jalan Sultan Ismail di Kuala Terengganu tiada kenderaan bagi mengelak kesesakan lebih kronik di situ.
Beliau memberi amaran, sekiranya terdapat pemandu degil dan enggan mematuhi arahan penguat kuasa, tindakan tegas akan diambil termasuk kenderaan mereka akan dikunci dan ditunda untuk langkah selanjutnya.
"Ketika ini kita tempatkan anggota-anggota penguat kuasa MBKT di kawasan itu terutama di depan Maybank di Jalan Sultan Ismail dan kalau mereka degil, kita akan kunci kereta atau tunda kenderaan mereka untuk diambil tindakan," katanya.
Adzlan menjelaskan, tindakan itu bukan bertujuan menyusahkan orang ramai sebaliknya mendidik mereka agar sama-sama memainkan peranan membantu kerajaan membangun serta memakmurkan bandar raya ini.
No comments:
Post a Comment