Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Terengganu, Datuk Seri Hishamuddin Hussein yang akan mempengerusikan mesyuarat berkenaan dijangka tiba dari Kuala Lumpur petang ini.
Beliau akan mendengar pandangan dan cadangan daripada beberapa jawatankuasa , termasuk Jawatankuasa Pengurusan pada mesyuarat itu.
Difahamkan, mesyuarat perhubungan tidak diadakan sejak beberapa bulan kerana kesibukan pengerusinya dengan tugas menteri dan UMNO Pusat.
Antara isu yang dikatakan akan dibincangkan termasuk penambahan ahli, pergeseran di peringkat Bahagian UMNO, termasuk UMNO Bahagian Setiu.
Mesyuarat Perwakilan Bahagian Setiu pada bulan lalu dikejutkan dengan ketidakhadiran empat Ahli Dewan Undangan Negeri yang mana dua daripadanya adalah Exco negeri.
Salah seorang daripadanya, Ashaari Idris – ADUN Langkap – juga adalah Timbalan Ketua UMNO Bahagian Setiu.
Tan Sri Muhyiddin Yassin – Timbalan Presiden UMNO – yang merasmikan mesyuarat berkenaan berharap masalah bahagian itu dapat diselesaikan segera.
Bahagian-bahagian lain yang dikatakan menghadapi masalah termasuklah Dungun, Marang dan Hulu Terengganu.
Mesyuarat di Pejabat UMNO, Aras 2, Bangunan UMNO Negeri Terengganu yang dijangka bermula 3 petang dijangka berlangsung selama tiga jam.
Hishamuddin dan Timbalannnya, Datuk Seri Ahmad Said selepas itu dijangka akan menghadiri majlis berbuka puasa bersama pemimpin, kakitangan kerajaan dan rakyat DUN Wakaf Mempelam, di Sekolah Menengah Sri nilam, Kuala Terengganu.
Mereka juga dijangka akan bersolat tarawikh di Majid Ladang, Kuala Terengganuu.
Zahid ketika merasmikan mesyuarat perwakilan UMNO Bahagian Kemaman (di kanannya Ahmad Said).
Tidak diketahui sama ada Hishamuddin juga akan mengemukakan pandangannya mengenai kedudukannya sama ada menerus atau menyerahkan jawatan Pengerusi kepada pemimpin UMNO negeri.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Zahid Hamidi ketika merasmikan mesyuarat perwakilan UMNO Bahagian Kemaman baru-baru ini menyokong langkah menyerahkan Pengerusi Perhubungan UMNO negeri-negeri kepada pemimpin tempatan.
Terengganu adalah satu-satunya negeri yang dimenangi oleh Barisan Nasional tetapi jawatan Pengerusi Perhubungan UMNO dipegang oleh pemimpin UMNO Pusat.
Perlis yang juga menghadapi krisis terus dipegang oleh Menteri Besarnya, Datuk Seri Dr Md Isa Sabu.
No comments:
Post a Comment