Sunday, August 15, 2010

Pelajar IPT DiGalak Berbuka Di Masjid

Penuntut institusi pengajian tinggi (IPT) di negeri ini tidak harus segan untuk bersama-sama menyertai program berbuka puasa di masjid dan surau.

Pesuruhjaya Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT), Datuk Shaikh Harun Shaikh Ismail berkata, mereka sebenarnya digalakkan berbuat demikian.

"Ia dapat meringankan beban kewangan keluarga di samping dapat mengimarahkan lagi rumah ibadat dan mengelak pembaziran.

"Jangan malu untuk berbuka puasa di masjid kerana kedatangan golongan penuntut IPT akan mengimarahkan masjid. Mereka boleh terus solat maghrib, isyak dan tarawih," katanya di Kuala Terengganu.

Beliau berkata, masyarakat di negeri ini sudah mula menderma dan memberi sumbangan kepada masjid-masjid untuk mengadakan majlis berbuka puasa.

"Kedatangan golongan pelajar ke masjid juga akan membantu memenuhi jumlah orang untuk berbuka puasa seperti yang diminta oleh penyumbang majlis itu.

"Ia juga akan membantu mengelakkan pembaziran akibat lebihan makanan yang disediakan untuk majlis berkenaan," ujarnya.

Dalam pada itu, beliau memberitahu, pihaknya juga akan mengadakan majlis berbuka puasa melibatkan golongan belia dalam tempoh terdekat ini.

Katanya, jabatan berkenaan sedang mengadakan perbincangan dengan pihak-pihak terbabit bagi mengadakan majlis tersebut.

Utusan Malaysia

No comments:

Post a Comment