Wednesday, August 18, 2010

Pandu Bot Terlalu Laju Dipercayai Punca Bot Berlanggar?

Pemanduan bot yang laju dipercayai menjadi penyebab berlakunya pelanggaran bot melibatkan pelancong asing dalam dua kejadian di perairan Pulau Perhentian dalam tempoh sebulan ini.

Ketua Penyiasat Polis Marin Daerah Besut, Inspektor Yaacub Pairuk berkata pemandu bot di kawasan itu kebiasaanya gemar memandu dengan laju di perairan sekitar Pulau Perhentian.

"Kawasan tempat berlakunya kemalangan itu agak sibuk kerana bot-bot besar sering keluar masuk membawa penumpang dari pulau berkenaan ke jeti Kuala Besut," katanya semalam.

Mereka yang terlibat boleh didakwa mengikut Seksyen 280 Kanun Keseksaan kerana membawa perahu atau bot secara cuai atau lalai, katanya ketika mengulas kes terbaru perlanggaran bot yang membawa pelancong dengan bot membawa barang di perairan pulau itu petang Ahad lalu.

Dalam kemalangan itu, sepasang suami isteri dari Norway, Steiro Kelly, 29, cedera ringan dan isterinya Tina Mariann Steiro, 30 patah tulang selangka.

Keadaan wanita itu bagaimanapun tidak membimbangkan dan dijangka keluar dari Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu, petang semalam.

Semalam, Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said menyifatkan insiden perlanggaran bot yang berlaku di Pulau Perhentian hingga mencederakan dua pelancong semalam sebagai kecuaian manusia.

Menurut Ahmad, kemalangan itu mungkin boleh dielak sekiranya pemandu bot memberi sepenuh tumpuan terhadap perjalanan.

Sehubungan itu, beliau meminta semua pemandu bot sentiasa berhati-hati dan peka dengan keadaan sekeliling ketika sedang menjalankan tugas bagi mengelak kejadian sama berulang pada masa akan datang.

“Panduan sudah ada, kadang-kadang kita ni cuai, ketika sedang kemudi bot, bercakap sesama sendiri tanpa beri perhatian dan oleh itu kita minta pemandu bot berhati-hati kerana ia melibatkan nyawa penumpang.

“Malah, kita juga minta pihak bertanggungjawab mengetatkan peraturan memberi lesen kepada pemandu,” katanya ketika ditemui media selepas menziarahi pesakit di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), di Kuala Terengganu.

Pada 24 Julai lalu, tiga pelancong dari China parah apabila bot yang mereka naiki berlanggar dengan sebuah bot Komando 69 Pasukan Gerakan Am (PGA) di Teluk Kay Kay berdekatan Pulau Perhentian Besar, Besut.

Kejadian berlaku ketika bot Komando 69 PGA dinaiki lima anggota sedang menjalani latihan di perairan itu sebelum bertembung dengan bot yang dinaiki pelancong terbabit.

Seorang anggota PGA dan lima pelancong tempatan cedera ringan dalam kejadian itu.

No comments:

Post a Comment