Wednesday, August 18, 2010

Suspek simbah asid direman enam hari

Polis semalam mendapat perintah reman lelaki yang dipercayai menyimbah asid kepada isteri, dua anak serta ibu mertuanya awal Ahad lalu, selama enam hari bermula hari ini bagi membantu siasatan.

Perintah tahanan reman itu dibacakan di hadapan Pendaftar Mahkamah Seksyen Kuala Terengganu, Mohd Erman Che Mat.

Perintah tahanan reman berkenaan dikeluarkan mengikut Seksyen 117 Kanun Acara Jenayah.

Lelaki berumur 32 tahun itu ditahan di Kampung Kuala Poh, Pasir Nering, Hulu Terengganu kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 1.45 pagi Ahad lalu, empat sekeluarga cedera disimbah asid di rumah mereka di Kampung Sekayu, Hulu Terengganu, ketika sedang tidur.

Mereka ialah Che Ku Zaimah Che Ku Awang, 29, yang cedera di bahagian belakang badan, anaknya, Nurul Dahyatul Fazlina Khalid, 8, dan Mohd Irfan Firdaus, 2, yang cedera di muka dan lengan.

Turut cedera dalam kejadian itu ialah ibu Cik Ku Zaimah, Minah Omar, 56 yang cedera ringan dan dirawat sebagai pesakit luar.

No comments:

Post a Comment