Tuesday, August 3, 2010

Pelajar Mangsa Culik Di Besut Dibenar Keluar Hospital

Kereta yang digunakan dalam cubaan menculik dan merogol Nurmuni.

Nurmuni Ainun Izzati, 15, pelajar yang terselamat dalam cubaan culik dan rogol di Besut, Terengganu lima hari lepas, dibenarkan keluar dari Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), di Kota Bharu, semalam.

Bapa pelajar itu, Mohd Roslan Ali, 46, berkata anaknya yang mengalami kecederaan parah hampir keseluruhan badan dan retak kepala, kini semakin pulih dan dibenarkan keluar dari hospital itu kira-kira 5.30 petang.

"Nurmuni sedar daripada koma sejak Rabu lalu dan pagi tadi dia masih ditempatkan di unit rawatan rapi. Bagaimanapun melihat keadaannya yang semakin baik, doktor membenarkan kami membawa pulang Nurmuni hari ini," katanya.

Beliau berkata Nurmuni akan dibawa pulang terus ke rumah mereka di Kampung Limbongan, Besut, Terengganu, malam ini bagi membolehkannya mendapat rehat yang cukup sebagaimana yang disarankan doktor.

Sementara itu, ketika ditemui, Nurmuni kelihatan gembira dan semakin sihat biarpun masih dalam keadaan lemah dan mengalami lebam pada bahagian mata serta kepala.

Menceritakan detik cemas yang dilaluinya, beliau berkata kejadian pada 4.30 petang Khamis lepas itu berlaku selepas beliau keluar dari kelas tambahan tingkatan tiga dan berada di luar pintu Sekolah Menengah Kebangsaan Permaisuri Zahirah, Besut.

Ketika itu, beliau baru sahaja menelefon ibunya untuk memberitahu supaya menjemputnya di sekolah, namun tiba-tiba datang dua lelaki tidak dikenali menaiki kereta Perodua Kenari menghampirinya.

"Dua lelaki itu, seorang berada di tempat duduk pemandu dan seorang lagi berada di belakang cuba mengheret saya ke arah kereta, tetapi saya enggan dan lelaki yang berada di hadapan memaksa saya," katanya.

Beliau berkata selepas mengheretnya ke dalam kereta, lelaki terbabit terus memecut laju meninggalkan perkarangan sekolah dan ketika berada dalam kenderaan itu, suspek dikatakan cuba merogolnya dengan melondehkan seluar dalamnya.

Bagaimanapun, terkejut dengan tindakan salah seorang lelaki itu, Nurmurni yang memiliki sedikit kemahiran Taekwando, berusaha melawan dan mempertahankan diri sehingga mengakibatkan kereta itu terbabas.

Beliau bagaimanapun meluahkan rasa syukur kerana terselamat dalam cubaan rogol itu biarpun mengalami kecederaan parah dan masih trauma dengan kejadian yang tidak dijangka itu.

No comments:

Post a Comment