Tuesday, August 3, 2010

Tiga Kawasan Bijih Besi Utama DiMajukan

Menteri Besar dan rombongan meninjau antara kawasan yang sudah diteroka. - Gambar oleh Zulkifli Putra

Kerajaan Terengganu akan memajukan tiga kawasan yang kaya dengan bijih besi di Bukit Besi dalam kawasan Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) yang dijangka mampu menghasilkan tiga juta tan metrik bijih tersebut.

Menteri Besar Datuk Ahmad Said berkata ketiga-tiga kawasan yang terletak di Bukit Besi itu dengan jumlah keluasan lapan kilometer persegi ialah di Sri Bangun, Burnt Hill dan juga Main Pit, yang berpotensi mengeluarkan bijih besi.

"Saya menerima tawaran daripada pelombong-pelombong bijih besi yang besar di seluruh negara untuk memajukan kawasan berkenaan dengan membuka kilang di situ."

"Tetapi, kita belum buat keputusan kerana kita tidak mahu terburu-buru, kita mahu keputusan yang dibuat nanti memberi keuntungan kepada kerajaan dan rakyat Terengganu," katanya kepada pemberita selepas melawat sekitar kawasan Bukit Besi di Dungun semalam.

Yang turut hadir pada lawatan itu ialah Pengarah Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) Terengganu Mohamad Pauzi Abdullah.

Ahmad berkata, mengikut kajian JMG, kawasan berkenaan mempunyai tiga juta tan metrik bijih besi yang berkualiti tinggi antara 62 peratus dan 64 peratus besi dengan nilai antara US$130 dan US$140 setan metrik.

"Bagaimanapun, kita tidak akan mengeksport bijih-bijih berkenaan sebelum diproses sehingga kualiti bijih besi berkualiti tinggi meningkat kepada 75 peratus atau 80 peratus yang boleh mencapai jualan dengan nilai US$200 bagi setiap satu tan metrik," katanya.

Beliau berkata satu syarikat Jepun telah mengeluarkan bijih besi di kawasan berkenaan dari 1923 hingga 1945 dan diikuti syarikat British yang memonopoli pengeluaran di kawasan itu dari 1950 hingga tahun 1971.

"Berdasarkan rekod, syarikat Jepun dan British berkenaan telah mengeluarkan kira-kira 50 juta tan metrik bijih besi sepanjang tempoh itu," katanya.

Pada masa ini, tiga buah syarikat iaitu Wahba Sdn Berhad, Cahaya Ikhtiar dan TPM Mineral Sdn Bhd sedang menjalankan kerja-kerja perlombongan bijih besi di kawasan lain di Bukit Besi sejak tahun lepas.

No comments:

Post a Comment