Thursday, August 5, 2010

Pemangku Sultan Jayakan Sukaneka Rakyat Kijal

Melastik...antara acara disertai Tengku Muhammad Ismail yang mencemar duli menjayakan sukaneka rakyat DUN Kijal Sabtu lalu - Gambar Zulkifli Putra.

Pemangku Sultan Terengganu, Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan Zainal Abidin mencemar duli untuk bersama rakyat menjayakan sukaneka rakyat peringkat kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kijal yang diadakan di Pantai Teluk Kalong, Kijal.

Tengku Muhammad Ismail berangkat tiba di Pantai Teluk Kalong pada jam 2.30 petang Sabtu lalu (31 Julai 2010) diiringi dua adindanya, Tengku Muhammad Muaz dan Tengku Fatimatuzahra.

Hadir ialah Menteri Besar, Datuk Ahmad Said yang menyatakan bangga atas kesudian Tengku Muhammad Ismail menyertai sukaneka bersama rakyat jelata.

Tengku Muhammad Ismail turut diperkenalkan kepada ketua kontinjen yang mewakili mukim di daerah Kemaman dan menyaksikan demonstrasi permainan panjat tiang licin dan pukul bantal sejurus selesai menerima hadiah daripada ketua kontinjen di setiap mukim.

Baginda kemudian menyaksikan cara membuat kuih tradisional serta demonstrasi permainan tradisi selain menjayakan beberapa permainan pada program itu.

Rakyat jelata turut teruja apabila menyaksikan Tengku Muhammad Ismail menyertai permainan golek tayar serta melepaskan acara terompah gergasi melibatkan kanak-kanak di kawasan DUN Kijal.

Tengku Muhammad Ismail turut menunjukkan bakat menumbuk emping padi dan memancing ikan hingga berjaya membawa naik beberapa ekor ikan keli di kolam ikan disediakan.

Sejurus kemudian, baginda berangkat pula melepaskan acara tarik tali dan mengurniakan hadiah kepada pemenang acara sukan rakyat.

Hadir meraikan acara itu ialah Pegawai Daerah Kemaman, Mohd Kamil Othman, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kemaman, A Rahman Yahya serta Pegawai Khas Menteri Belia dan Sukan, Rohani Abdullah.

Disambut rakyat jelata yang ingin melihat lebih dekat Tengku Muhammad Ismail serta dua adindanya. - Gambar Zulkifli Putra.

No comments:

Post a Comment