Thursday, August 5, 2010

RM800,000 bantu imarah masjid

Kerajaan negeri memperuntukkan kira-kira RM800,000 kepada lebih 400 masjid dan surau di negeri ini bagi menjalankan pelbagai aktiviti mengimarahkan masjid sepanjang Ramadan ini.

Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan negeri, Khazan Che Mat berkata, masjid negeri akan menerima RM2,000 manakala RM1,000 bagi masjid biasa dan RM500 untuk surau.

Menurut beliau, terserah kepada pihak jawatankuasa masjid atau surau untuk melaksanakan kegiatan bagi memastikan masjid menjadi tumpuan sepanjang Ramadan.

''Kita mahu seluruh masyarakat Islam mengambil kesempatan pada bulan yang mulia ini untuk memanfaatkan kemudahan masjid yang dibina di seluruh negeri,'' katanya.

Beliau berkata demikian selepas menutup Festival Nasyid peringkat negeri yang diadakan di Menara Yayasan Islam Terengganu diKuala Terengganu, malam tadi.

Hadir sama Pengarah Yayasan Islam Terengganu (YIT), Md. Kamarul Al Amin Ismail.

Khazan berkata, peruntukan itu merupakan bantuan tahunan dalam usaha kerajaan negeri mempelbagai aktiviti dakwah sepanjang Ramadan selain solat sunat Terawih.

Sehubungan dengan itu, beliau berharap masyarakat Islam di negeri ini mengambil peluang untuk memperbanyakkan ibadat pada bulan puasa ini.

Katanya, kerajaan negeri melalui Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) turut bekerjasama dengan Radio Malaysia Terengganu (TFM) mengadakan pelbagai program di radio sepanjang Ramadan.

Katanya, ini termasuk kuiz dan ceramah agama dalam usaha mempelbagaikan kegiatan dakwah.

No comments:

Post a Comment