Rozi Mamat duduk diatas ATV bergambar bersama urusetia selepas acara perasmian Pexpa di Tasik Kenyir, Hulu Terengganu, baru-baru ini.
Kerajaan negeri melalui Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) memperuntukkan RM500,000 untuk projek penambahbaikan dan pembangunan semula Pulau Petang, Tasik Kenyir dengan kelengkapan aktiviti sukan lasak.
Pengurus Besarnya, Hamazah Ngah berkata, ia dijangka selesai menjelang pertengahan September ini.
Katanya, selepas penjenamaan semula pusat pelancongan yang terletak kira-kira 45 minit perjalanan menggunakan bot dari Pengkalan Gawi itu siap, ia bakal dikenali sebagai Petang Eco Xventure Park (Pexpa).
"Pexpa itu akan meliputi resort, tapak perkhemahan dan pelbagai tapak aktiviti lasak seperti flying fox, paintball, night walk, memandu kenderaan armor ringan (ATV) serta jet ski dan kayak.
"Ia akan menjadi base camp bagi pengunjung yang datang untuk melakukan aktiviti rekreasi biasa atau mencabar berdasarkan kemahuan masing-masing," katanya.
Beliau berkata demikian pada majlis pelancaran penjenamaan semula yang turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri, Rozi Mamat dan Pengarah Urusan Pexpa, Iskandar Shah Abd. Rahman di Tasik Kenyir baru-baru ini.
Dalam pada itu, Hamzah memberitahu, Pexpa bakal didirikan di Pulau Petang berikutan lokasinya yang strategik apabila menjadi laluan utama di tasik berkenaan untuk pengunjung ke Santuari Kelah.
Selain itu, ia juga menjadi laluan pengunjung untuk ke Gua Bewah yang menempatkan penemuan rangka manusia tertua di negara ini di samping terletak di tengah-tengah kawasan zon pulau yang akan dibangunkan di bawah program Island Hoping.
Tambah beliau, pihaknya menjangkakan pertambahan pengunjung ke kawasan yang telah dibangunkan sejak 2000 itu daripada 30 peratus berbanding 7,000 pengunjung setahun ke pusat pelancongan berkenaan.
"Kita yakin dapat menarik lebih ramai pengunjung apabila Pexpa siap sepenuhnya dengan kemudahan terbaru iaitu aktiviti flying fox sepanjang kira-kira 400 meter dipercayai bakal menjadi flying fox terpanjang di negara ini yang akan merentasi tasik berkenaan," jelasnya.
No comments:
Post a Comment