Thursday, August 19, 2010

Pemohon sertai ujian hafaz al-Quran meningkat

Jumlah penyertaan Ujian Hafaz al-Quran terbuka negeri semakin mendapat sambutan seiring dengan peningkatan jumlah mereka yang hafaz al-Quran setiap tahun.

Ketua Penolong Pesuruhjaya Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT), Shamsiah Awang berkata, pada penggal pertama tahun ini, sebanyak 89 peserta telah lulus.

''Mereka adalah antara 142 pemohon dari seluruh negeri ini dan 81 daripada mereka merupakan lulusan tahap 30 juzuk.

"Mereka terdiri daripada pelbagai latar belakang seperti pensyarah, guru dan usahawan serta golongan orang kurang upaya (OKU)," katanya di Kuala Terengganu.

Menurutnya, proses permohonan serta ujian akan dijalankan pada setiap penggal iaitu setiap setengah tahun.

Beliau berkata, terdapat penolakan penyertaan disebabkan peserta tidak memenuhi syarat-syarat dalam Peraturan Hafaz al-Quran 2007 (Pindaan) seperti tidak bermastautin dalam negeri.

"Ada pemohon sanggup pulang dari luar negara seperti Mesir semata-mata mahu menyertai ujian ini namun permohonan ini terpaksa ditolak kerana tidak bermastautin di sini," katanya.

Tambah Shamsiah, walaupun program ini merupakan ibadah yang sangat dituntut agama, namun peserta yang lulus akan diberi insentif bulanan sebanyak RM1,000 sebagai penghargaan.

Jelasnya, mereka yang berjaya diminta menyumbang kepada masyarakat setempat melalui pengajaran kelas al-Quran, menjadi imam atau bilal di masjid, mengajar ilmu tafsir al-Quran, tajwid dan fikah serta sumbangan melalui penulisan dan aktiviti dakwah.

"Bagi menghargai peserta yang lebih lima tahun berjaya ujian ini, mereka turut menerima tawaran menunaikan haji daripada pihak kerajaan negeri dan sumbangan khairat kematian sebanyak RM10,000," ujarnya.









Peserta Terengganu, Ahmad Tarmizi Ali mendapat terbaik keseluruhan menghafaz Al-Quran bagi Kategori Lelaki Menghafaz Al-Quran Peringkat Kebangsaan ke-31 yang berlangsung di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh, baru-baru ini.


No comments:

Post a Comment