Wednesday, August 18, 2010

Perangsang Daripada MB Untuk Pelajar Tingkatan Enam Atas

Menteri Besar menyampaikan bantuan kepada pelajar Tingkatan Enam di Wisma Darul Iman baru-baru ini.

Datuk Ahmad Said berdiri selama hampir dua jam (10.30 pagi hingga 12.26 tengahari) Selasa minggu lalu (10 Ogos 2010) di pentas Majlid Penyampaian Bantuan Pendidikan Yayasan untuk bersalaman dengan 1,835 pelajar tingkatan enam.

Beliau turut beramah mesra dengan pelajar berkenaan pada majlis jamuan makan selepas majlis rasmi berkenaan sambil menasihati pelajar supaya mencipta nama untuk diri dan keluarga dengan mencatat keputusan cemerlang dalam peperiksaan.

Sesetengah mereka mengambil peluang untuk bergambar dan mengenali lebih dekat Menteri Besar Terengganu itu.

Mereka adalah kumpulan pelajar dari seluruh Terengganu yang akan menempuhi peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) tahun ini.

Setiap pelajar menerima wang perangsang sebanyak RM1,000 seorang untuk mereka melakukan yang terbaik dalam peperiksaan itu bagi menjamin mereka menjejak kaki ke institusi pengajian tinggi.

Hakikatnya, tiada sebuah negeri lain di Malaysia ini yang menyediakan bantuan sebegini untuk pelajar yang akan menempuhi peperiksaan STPM.

Untuk rekod, Terengganu sudah mencapai kejayaan dua tahun berturut-turut mencatat keputusan STPM paling cemerlang selain kejayaan dalam Sijil Pelajaran Malaysia, Ujian Penilaian Sekolah Rendah dan Penilaian Menengah Rendah.

Wang yang disalurkan melalui Yayasan Terengganu itu diperkenalkan oleh kerajaan negeri sejak 2008 juga bertujuan meringankan beban pelajar tingkatan enam yang tidak menerima sebarang bantuan biasiswa pendidikan.

Yang penting dalam beberapa bulan menjelang peperiksaan itu, pelajar perlu ‘lupakan yang lain’ dan memberikan tumpuan semaksimum mungkin untuk melakukan sesuatu yang cemerlang dalam peperiksaan berkenaan.

Ahmad Said ketika berucap pada di majlis yang diadakan di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, itu menasihati pelajar supaya menggunakan bantuan itu bagi tujuan yang bermanfaat, khususnya untuk tujuan pembelajaran mereka.

“Berkorbanlah dalam tempoh tiga bulan ini untuk kesenangan masa depan para pelajar sekalian sehingga 40 tahun yang akan datang selagi hayat dikandung badan,” katanya.

Bagi kerajaan Terengganu, program ini sebahagian daripada rancangan 201052 (kecemerlangan peperiksaan) bagi menjayakan misi menjadikan Terengganu sebagai Anjung Ilmu.

Tiga sekolah paling ramai pelajarnya menerima bantuan ialah SMK Tengku Mahmud Besut (81 pelajar), SMK Padang Midin (66) dan SMK Sultan Sulaiman (61).

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mazlan Ngah, Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia Negeri, YB Ahmad Razif Abd Rahman serta Pengarah Pelajaran Negeri, Ariffin Embong.

No comments:

Post a Comment