APA SALAHKU...Bayi lelaki yang ditinggalkan dalam keadaan bogel di hadapan sebuah rumah di Jalan Hulu Takir di Seberang Takir malam tadi disahkan sihat oleh Hospital Sultanah Nur Zahirah di Kuala Terengganu, Rabu. Bayi lelaki yang dipercayai baru lahir itu ditemui di hadapan rumah anggota polis, Lans Koperal Marzuki Hamid sebelum dibawa ke Hospital Sultanah Nur Zahirah untuk pemeriksaan lanjut. Foto BERNAMA
Seorang bayi lelaki yang masih bertali pusat ditinggalkan di depan pintu pagar rumah seorang anggota polis di Kampung Batin, di Seberang Takir malam tadi.
L/Kpl Marzuki Hamid, 44, berkata bayi lelaki seberat 3.03 kilogram itu ditemui anaknya Hafiyana, 19, jam 10.15 malam dalam keadaan berbogel dan ditinggalkan di atas rumput tanpa sebarang alas.
Marzuki yang bertugas di Ibupejabat Polis Kontinjen Kuala Terengganu berkata, ketika itu beliau dan anggota keluarga yang lain keluar dan hanya Hafiyana ada di rumah.
"Hafiyana ternampak bayi itu ketika ingin keluar untuk membeli barang di kedai tidak jauh dari rumah. Sebaik ternampak bayi itu, dia bawa masuk ke dalam rumah dan menyelimut bayi itu dengan tuala sebelum menghubungi saya," katanya di Kuala Terengganu hari ini.
Marzuki berkata, sebaik mendapat panggilan daripada anaknya, beliau segera pulang ke rumah dan menghantar bayi yang mempunyai cukup sifat itu ke hospital.
Beliau berkata, bayi itu langsung tidak menangis ketika ditemui dan sepanjang perjalanan ketika dihantar ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ).
Pemangku Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Supt K Manorahan, ketika ditemui pemberita berkata bayi itu dipercayai baru sahaja ditinggalkan di rumah anggota polis berkenaan.
"Kami percaya ia ditinggalkan dalam tempoh tidak sampai sejam kerana ketika anggota polis itu keluar rumah selepas jam 9 malam, bayi itu belum ada di situ," katanya.
Beliau berkata, polis sedang mengesan ibu bayi berkenaan dan individu yang dipercayai meninggalkannya di situ dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh.
Manoharan meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai pembuangan bayi itu supaya menghubungi balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.
Sementara itu, Pegawai Perlindungan Kanak-kanak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri, Mohd Abdan Ishak, berkata buat sementara bayi itu akan dijaga oleh jabatan itu sebelum mahkamah menentukan institusi mana bayi itu akan ditempatkan.
No comments:
Post a Comment