Penggemar makanan mamak di negeri ini diingatkan agar berhati-hati dan tidak tertipu dengan masakan restoran India yang menyediakan menu serupa sebagaimana restoran mamak atau India Muslim.
Ini sebab, terdapat dua hingga tiga restoran yang dikenal pasti di sekitar bandar raya ini dikatakan dimiliki bukan India Muslim, sebaliknya dalam kalangan mereka beragama Hindu.
Perkara itu menyebabkan berlaku kekeliruan dalam kalangan pengguna Islam sehingga ada yang ‘tersalah masuk’ ke restoran India dan bukan restoran mamak sebagaimana diharapkan.
Presiden Kongres India Muslim Melayu (Kimma) Terengganu, Mohamed Salahudin Mohd Shahabudin (gambar)mengakui perkara itu dan meminta orang Islam berhati-hati ketika memilih restoran.
“Kalau mahu makan roti canai mungkin tidak mengapa, tetapi kalau yang mahu makan daging dan seumpamanya, kita khuatir dengan kesuciannya lebih-lebih lagi untuk waktu berbuka puasa yang kita sendiri mengharap keberkatannya.
“Kalau di negeri lain seperti Pulau Pinang dan Johor, lebih ramai yang keliru antara restoran mamak dan restoran India,” katanya kepada Sinar Harian ketika dihubungi, semalam.
Beliau berkata, ada juga pemilik restoran terbabit menggunakan orang Islam sebagai pelayan menyebabkan wujud kekeliruan ketara dalam kalangan pengguna Islam.
Bagaimanapun katanya, restoran India biasanya tidak meletakkan ayat-ayat suci al-Quran sebagaimana berlaku di segelintir kopitiam yang tidak mempunyai sijil halal bertujuan menarik orang Melayu ke kedai mereka.
Mengulas lanjut, beliau berkata, penggemar makanan mamak boleh mengenali restoran tersebut melalui nama-nama yang diberikan di premis masing-masing.
“Kalau restoran mamak atau India Muslim, biasanya mereka meletak nama restoran dengan nama orang Islam seperti ‘Ashraf’, ‘Zubaidah’ dan sebagainya.
“Sebaliknya, kalau restoran India, biasanya mereka letak nama ‘Mawar’ atau bukan nama orang, yang nama ‘Seri’ atau nama seakan-akan Hindu pun kena berhati-hati kerana ia bukan restoran mamak,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan pemilik restoran mamak mendapatkan sijil halal bagi membezakan restoran mereka dengan restoran India bagi mengelak lebih banyak kekeliruan pada masa akan datang.
“Pilihlah makanan di tempat makan yang betul dan halal serta kita juga meminta pemilik restoran mamak supaya tidak menaikkan harga sempena bulan puasa selain memberi kemudahan kepada pelanggan dengan memberi kurma percuma kepada yang berbuka di restoran mereka,” katanya.
Sinar Harian
No comments:
Post a Comment