Sunday, August 1, 2010

Satu Daripada Tiga Kilang Proses Kenaf Bakal Dibina di Terengganu

Gambar Hiasan - Memindahkan Kenaf yang sudah dituai

Kementerian Perusahaan, Komoditi dan Perladangan bercadang membuka tiga kilang memproses kenaf di Pantai Timur tidak lama lagi bagi mengkomersialkan tanaman itu, selain mewujudkan peluang menambah pendapatan kepada petani.

"Kerajaan bercadang untuk membina kilang tersebut di Pahang, Terengganu dan Kelantan bagi memproses gentian dan teras kenaf.

"Salah satu daripada kilang itu berkemungkinan didirikan di Pekan memandangkan para peserta di sini bersemangat dan berjaya mengeluarkan hasil tertinggi berbanding negeri-negeri lain," kata Timbalan Menterinya Datuk Hamzah Zainuddin, selepas majlis pemberian insentif dan penuaian kenaf di Kampung Tepong Merchong, Nenasi, Pekan hari ini.

Beliau berkata langkah itu diambil memandangkan kenaf bakal menjadi komoditi penting negara pada masa akan datang bagi menggantikan tembakau yang kini diusahakan secara kecil-kecilan.

Beliau berkata kerajaan juga bercadang mewujudkan pusat kajian pembangunan pokok kenaf bagi membolehkan tanaman itu mengeluarkan hasil berkualiti.

"Setakat ini, kita mengadakan kajian dengan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi) bagi mencari dan menghasilkan benih berkualiti untuk dibekalkan kepada peserta," katanya.

Hamzah berkata tanaman kenaf mempunyai potensi dan boleh dikembangkan, khususnya dalam penghasilan gentian berkualiti untuk pasaran luar negara.

Beliau berkata permintaan syarikat multinasional terhadap gentian adalah tinggi untuk pengeluaran barangan elektronik, dan harga kenaf juga lebih tinggi berbanding tanaman lain.

"Berdasarkan harga yang tinggi itu, kenaf kini adalah sumber baru pendapatan petani," katanya.

No comments:

Post a Comment