Sunday, August 1, 2010

Tabung Haji Terengganu Sedia Urus Penerbangan Jemaah Pantai Timur


Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji) negeri Terengganu kini bersiap sedia bagi menguruskan penerbangan jemaah haji dari pantai timur ke Tanah Suci Mekah bermula 9 Oktober ini.

Pengarah Tabung Haji Negeri Terengganu Mohammad Mokhzani Mukhtar berkata, sehingga kini Tabung Haji telah mengadakan beberapa kali mesyuarat dengan jabatan-jabatan terlibat bagi mengemaskan lagi segala urusan berkaitan menunaikan fardu haji tahun ini.

"Pada pertengahan Ogos ini semua kursus haji yang diadakan di peringkat daerah-daerah akan selesai dan kita akan mengadakan kursus Haji Perdana pada 24 dan 25 Sept bertempat di Stadium Tertutup, Kompleks Sukan Gong Badak di sini," katanya.

Beliau ditemui pemberita pada majlis sumbangan kepada fakir miskin oleh Kumpulan Puan Sri Datin Rajmin dengan kerjasama Tabung Haji di sini hari ini. Turut hadir pada majlis itu Pengerusi Kumpulan, Puan Sri Rajmin Rashid.

Mohammad Mokhzani berkata, jumlah jemaah haji dari pantai timur yang akan berlepas melalui Lapangan Terbang Sultan Mahmud masih lagi belum diputuskan. Bagaimanapun jemaah dari negeri Terengganu setakat ini berjumlah kira-kira 2,200 orang.

Sementara itu Puan Sri Rajmin berkata, kumpulan yang aktif dalam kegiatan amal, ditubuhkan sejak 10 tahun lalu untuk membantu golongan miskin, anak yatim, ibu tunggal serta yang sakit.

"Untuk menyumbang, ia tidak perlu pertubuhan atau syarikat yang besar, tetapi kumpulan yang kecil juga mampu membantu bagi meringankan sedikit beban mereka yang kurang bernasib baik," katanya.

Sebelum Terengganu, kumpulan itu telah memberi sumbangan kepada mereka yang daif di negeri Kelantan, Langkawi (Kedah), Pulau Pinang dan Selangor.

Pada majlis itu Kumpulan Puan Sri Datin Rajmin telah memberi sumbangan kepada 18 orang fakir miskin yang berbentuk hamper serta wang tunai RM550 setiap seorang.

No comments:

Post a Comment