Monday, August 30, 2010

Sayap UMNO Jabi Agih Jalur Gemilang

AHLI Jawatankuasa Pergerakan Pemuda dan Puteri UMNO DUN Jabi mengagihkan bubur lambuk sempena program Bubur Lambuk Merdeka di Kampung Renek, Besut, semalam.

Pergerakan Pemuda dan Puteri UMNO Dewan Undangan Negeri (DUN) Jabi meraikan sambutan ulang tahun kemerdekaan negara dengan mengagihkan Jalur Gemilang kepada orang ramai.

Kedua-dua sayap UMNO itu turut menyediakan Bubur Lambuk Merdeka yang kemudiannya diagihkan kepada orang ramai sebagai juadah berbuka puasa.

Timbalan Pengerusi Penyelaras Pemuda UMNO DUN Jabi, Mohd. Iskandar Jaafar berkata, ia merupakan program bersepadu antara Jawatankuasa Penyelaras Pemuda dan Puteri UMNO.

“Ia juga sebahagian daripada pendekatan bagi memastikan mereka menjadi penghubung kepada masyarakat menerusi kerja-kerja amal dan kebajikan,” ujarnya di sini hari ini.

Mohd. Iskandar berkata, mereka mula memasak tiga kawah bubur lambuk pada pukul 12 tengah hari dan dapat menyediakan kira-kira 1,000 bungkus untuk diagihkan kepada pengunjung di bazar Ramadan berhampiran.

“Di samping itu, Jalur Gemilang diagihkan kepada pengguna kenderaan di laluan utama yang menghubungkan Terengganu dan Kelantan,” ujarnya.

Katanya, ia sebagai salah satu simbol yang dapat menyemarakkan lagi suasana sambutan hari kemerdekaan 31 Ogos nanti.

Menurutnya, pada masa akan datang lebih banyak program yang melibatkan penyertaan masyarakat bersama Puteri UMNO dan juga badan-badan bukan kerajaan (NGO) akan dilaksanakan.

“Kita harap ia membuka ruang lebih luas bagi merapatkan hubungan masyarakat dengan Pemuda dan Puteri UMNO,” ujarnya.

Utusan Malaysia

No comments:

Post a Comment