Sunday, August 29, 2010
Kerajaan Terengganu Dijangka Terima Royalti Minyak RM1.6 Bilion Setahun
Kerajaan negeri Terengganu dijangka memperoleh royalti minyak sekitar RM1.6 bilion setahun selepas memeterai perjanjian dengan Petronas pada satu masa yang akan diumumkan kelak.
Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said berkata bagaimanapun jumlah tersebut hanya jangkaan sahaja kerana semuanya bergantung kepada harga minyak dunia semasa.
"Kerajaan negeri akan menunggu masa yang sesuai untuk membuat perjanjian dengan Petronas berkaitan pembayaran royalti tersebut dan tiada apa-apa masalah yang timbul dalam perundingan di antara kerajaan negeri dengan Petronas baru-baru ini," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis berbuka puasa bersama pelajar-pelajar institusi pengajian tinggi tajaan Yayasan Terengganu di Pusat Dagangan Dunia Putra di Kuala Lumpur malam semalam.
Pada rundingan dengan Petronas, kerajaan negeri menuntut supaya dikembalikan royalti kepada Terengganu dan meminta agar perjanjian asal dikekalkan dan diubah sedikit dengan menggugurkan perkataan 'ex-gratia'.
Ahmad berkata hasil royalti daripada Petronas itu akan digunakan untuk pembangunan di Terengganu kelak, seperti pembinaan rumah mampu milik untuk golongan berpendapatan rendah.
Dalam pada itu, beliau berkata kerajaan negeri merancang untuk membina 10,000 unit rumah mampu milik kepada rakyat Terengganu yang menelan kos RM1.7 bilion.
No comments:
Post a Comment