Juara bertahan Selangor mempertahankan kejuaraan Liga Super selepas menumpaskan Terengganu 2-0 pada perlawanan di Stadium Shah Alam malam semalam.
Waaupun perlawanan liga super berbaki satu perlawanan Selasa ini, Kelantan yang kini berada di tangga kedua dengan 58 mata, tidak mampu untuk memintas pasukan Red Giants itu yang mengulangi kemenangan takhta Liga Super musim lepas (2008/2009) dengan mengutip 63 mata.
Selepas terikat tanpa jaringan pada masa pertama, skuad bimbingan K. Devan membuka jaringan pada minit ke-66 menerusi tandukan Amirul Hadi Zainal.
Selangor mendapat gol kedua menerusi sepakan penalti yang disempurnakan oleh Safiq Rahim pada minit ke-74.
Selaku juara Liga Super, Selangor bakal mendapat hadiah wang tunai RM500,000 sementara naib juara mendapat RM300,000.
Di Stadium Jcorp, Pasir Gudang, Kelantan turut memperoleh kejayaan apabila menumpaskan Johor FC 3-1.
Di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, Negeri Sembilan berpesta gol menewaskan Pahang 5-0.
Gol-gol pasukan tuan rumah dijaringkan oleh Idris Karim pada minit ke-6 dan 41, Shukor Adan minit ke-76, Rezal Zambery Yahya minit ke-86, dan Mohd Zaquan Adha Abd Radzak pada minit ke-90.
Di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin, T-Team turut berpesta gol apabila membenam Johor 5-0.
Di Stadium Kuala Lumpur Cheras, Kuala Lumpur gagal mengambil kelebihan bermain di gelanggang sendiri selepas dibelasah 0-2 oleh KL Plus.
Pasukan pelawat membuka jaringan pada minit ke-85 menerusi ledakan Mohd Fadli Saari sebelum Mohd Lot Abu Hassan menambah satu lagi gol pada minit ke-90.
Di Stadium Perak, Ipoh, Perak menang tipis 1-0 ke atas Kedah. Gol tunggal Perak dijaringkan pada babak akhir perlawanan oleh Md Khalis Ibrahim pada minit ke-86.
Di Stadium Bandaraya Pulau Pinang, tuan rumah gagal menggunakan kelebihan ditempat sendiri dengan sekadar seri 0-0 dengan Perlis.
No comments:
Post a Comment