Sepasang pelancong dari Norway cedera dalam satu kemalangan bot di perairan Pulau Perhentian, petang semalam (15 Ogos 2010).
Pemangku Ketua Jabatan Siasatan Jenayah II Negeri Supt K Manoharan Isnin berkata dalam kemalangan pulul 6.15 petang itu Steiro Kelly, 29, seorang jurutera cedera ringan manakala isterinya Tina Mariann Steiro, 30 seorang guru, patah tulang selangkanya.
Wanita itu masih dirawat di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini manakala suaminya telah dibenar keluar dari hospital, hari ini, katanya kepada pemberita di Kuala Terengganu.
Manoharan berkata, kejadian berlaku ketika kedua-duanya yang menaiki bot laju bersaiz kecil, yang dipandu seorang lelaki tempatan, baru balik dari aktiviti menyelam di Pulau Perhentian Besar.
"Ketika tiba di tempat kejadian, sebuah bot yang membawa barang yang agak besar bertembung dengan bot yang membawa pelancong dari Norway itu.
"Pemandu bot yang membawa barang itu membantu membawa pelancong yang tercedera itu ke daratan dan menghantar kedua-duanya ke Hospital Besut sebelum dipindahkan ke HSNZ," katanya.
Katanya punca kejadian masih belum dapat dipastikan dan kedua-dua pemandu bot yang tidak mengalami sebarang kecederaan, telah membuat laporan polis.
Kes itu disiasat di bawah Seksyen 280 Kanun Keseksaan kerana membawa perahu atau bot secara cuai atau lalai.
Kejadian ini merupakan kes kedua kemalangan bot melibatkan pelancong asing di perairan Terengganu tahun ini.
Pada 24 Julai lalu, tiga pelancong dari China parah apabila bot yang mereka naiki berlanggar dengan sebuah bot Komando 69 Pasukan Gerakan Am (PGA) di Teluk Kay Kay berdekatan Pulau Perhentian Besar, Besut.
Kejadian berlaku ketika bot Komando 69 PGA yang dinaiki lima anggota sedang menjalani latihan di perairan itu sebelum bertembung dengan bot dinaiki pelancong terbabit.
Seorang anggota PGA dan lima pelancong tempatan turut cedera ringan dalam kejadian itu.
No comments:
Post a Comment