Tanggal 25 Julai lalu, Prof. Datuk Dr. Sulaiman Yassin (gambar) melangkah ke pentas Dewan Sultan Mizan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dengan perasaan cukup terharu.
Ia bagaikan kemuncak dalam kerjayanya ketika sumbangannya yang panjang dalam dunia pengajian tinggi tanah air diberi pengiktirafan begitu bermakna.
Di situ, dalam istiadat konvokesyen di universiti yang pernah diterajuinya, beliau dianugerahkan Profesor Emeritius dalam bidang komunikasi dan pembangunan masyarakat.
Penganugerahan itu disempurnakan oleh Raja Permaisuri Agong, Tuanku Nur Zahirah yang juga Tuanku Canselor UMT pada majlis Konvokesyen Kelapan.
Beliau memperoleh Ijazah Sarjana Muda Sains Pertanian dari Universiti Malaya (UM) pada 1972 sebelum melanjutkan pengajian ke Cornell University di Amerika Syarikat pada peringkat sarjana dan doktor falsafah dalam bidang komunikasi dan pendidikan lanjutan.
Pada 1985, Dr. Sulaiman sekali lagi kembali ke Cornell University sebagai Malaysian Fulbright Scholar. Pada 1987 beliau dilantik sebagai profesor dalam bidang komunikasi di Universiti Putra Malaysia (UPM).
Beliau pakar dalam bidang pembangunan masyarakat dan komunikasi dan telah menghasilkan 11 buah buku akademik, 11 monograf dan modul serta berpuluh artikel dalam jurnal tempatan dan antarabangsa.
Sebagai penyelia ijazah tinggi, beliau berjaya melahirkan lapan orang doktor falsafah dan berpuluh orang sarjana melalui penyelidikan dan kerja kursus.
Setakat ini, beliau telah memimpin 17 buah penyelidikan utama dan anggota kepada berpuluh ahli pasukan penyelidikan kecil menerusi tajaan tempatan seperti IRPA, Kementerian Pelajaran, UPM, Unit Perancang Ekonomi (EPU) serta geran penyelidikan antarabangsa.
Selain itu, beliau dilantik sebagai penasihat dan Ahli Lembaga Penasihat Felda, Kementerian Pembangunan Luar Bandar, Perkhidmatan Lanjutan Institut Penyelidikan Minyak Kelapa Sawit Malaysia ( PORIM ) dan Ahli Pusat Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).
Beliau memegang pelbagai jawatan utama universiti antaranya, Pengarah Pusat Kecemerlangan, Dekan, Timbalan Naib Canselor dan Naib Canselor.
Pada 2004, beliau dilantik sebagai Rektor Kolej Universiti Sains dan Teknologi Malaysia (Kustem) dan menjadi Naib Canselor UMT pada 2007.
Kini beliau dilantik sebagai Felo Penyelidik Utama di Institut Kajian Sains Sosial UPM dan Profesor Adjung di Universiti Tun Hussein Onn Malaysia.
No comments:
Post a Comment